Latest Stories

Undang-undang Melayu

Di zaman kesultanan Melayu dalam abad sebelum datangnya British ke negeri-negeri Tanah Melayu terdapat beberapa kumpulan undang-undang Melayu. R.O. Winstedt telah membahagikan kumpulan undang-undang Melayu itu kepada 3 jenis

a) Undang-undang Minangkabau

b) Undang-undang Melaka

c) Undang-undang Islam

Di antara 3 jenis undang-undang ini, ternyata undang-undang Melaka mempunyai banyak pengaruhnya. Ia telah dikumpulkan pada mulanya di Melaka dan kemudiannya telah diubahsuaikan dan digunapakai di Kedah, Pahang, Johor, Riau, Pontianak dan Brunei. Undang-undang yang kemudiannya dinamakan Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang atau Undang-undang Kedah adalah berasal dari Undang-undang Melaka.

Undang-undang Melaka adalah kumpulan dari beberapa undang-undang dan ia mengandungi;

1 - Undang-undang Melaka yang asal

2 - Undang-undang Laut

3 - Undang-undang keluarga Islam

4 - Undang-undang Jual beli dan acara Islam

5 - Undang-undang Negeri

6 - Undang-undang Johor


Undang-undang Melaka itu telah mula dikumpulkan pada zaman Sultan Muhammad Syah (1424 - 44) dan dilengkapkan dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1458).

Bahagian Undang-undang Islamnya telah dimasukkan kemudian sedangkan Undang-undang Negeri mula dimasukkan pada awal kurun ke 16 Masehi, dan Undang-undang Johor disadurkan pada zaman Sultan Mahmud Syah (1761 - 1821).

Di dalam bahagian pertama Undang-undang Melaka lama, kita dapati pengaruh Undang-undang Adat masih kuat sungguhpun ternyata kesan Undang-undang Islam telah mula meresapi masyarakat Melayu. Selain dari memperuntukkan undang-undang mengenai hak dan keistimewaan raja-raja, perlantikan dan tugas menteri-menteri dan pembesar-pembesar, bahagian itu menyebut juga mengenai kesalahan-kesalahan.

Mengikut fasal 5:1 mengenai "orang membunuh dengan tidak setahu raja-raja atau orang-orang besar, jika dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada buku Allah, maka adil namanya". Tetapi di dalam adat terdapat beberapa kecualian;

a) 5.3  Adapun jikalau membunuh madunya, maka ia lari ke dalam kampung orang, maka diikutnya oleh empunya madu itu, maka berkelahi dengan empunya kampung itu, maka jikalau ia melawan, maka terbunuh yang mengikut itu, mati saja dengan tiada hukum lagi. Itulah adatnya negeri, tetapi pada hukum Allah, yang membunuh itu dibunuh juga hukumnya, kerana menurut dalil Quran dan menurut amr bil ma'ruf wan nahi anil munkar.

b)  8.3  Adapun hukum orang memaki orang: Jikalau abdi memaki merdehika digocoh hukumnya atau ditanggalkan giginya, itulah hukumnya. Adapun jikalau merdehika memaki isteri abdi, tiadalah lagi salahnya pada adatnya, kerana hukum anak isteri itu tiada dapat dipermudah-mudah pada hukum qanun, tetapi kepada hukum Allah bersalahan,  yang membunuh itu , fardhu dibunuh pula, supaya jangan tertanggung haknya itu kepada kita.


Mengenai kesalahan zina pula, Undang-undang Melaka memerintahkan;

12.2 Demikian lagi menangkap  orang, maka lalu diwati'nya perempuan itu, pun sepuluh emas dendanya kerana menggagahi orang. Demikianlah hukumnya atas pihak qanun hukumnya. Adapun tiada dapat ia menangkap dan menggagahi orang. Jikalau ada orang merdehika yang ditangkapnya itu, maka lalu diwati'nya perempuan itu, maka diberinya tahu kepada hakim maka dipanggil oleh hakim, disuruh kahwinkan. Jikalau ia tidak mahu kahwin didenda tiga tahil sepaha dengan isi kahwinnya adat hamba raja. Adapun pada hukum Allah, jikalau ia muhsan direjam. Adapun erti muhsan itu perempuan yang berlaki, jikalau laki-laki yang ada beristeri, itulah erti muhsan. Jikalau ghair muhsan, dipalu delapan puluh palu dengan hukum dera. Itulah hukumnya dengan tiada bersalahan lagi.


Mengenai orang yang menuduh orang zina, Undang-undang Melaka memperuntukkan;

12.3  Pada hukum Allah didera delapan puluh kali deranya. Jikalau pada hukum qanun didenda sepuluh tahil.


Bahagian Ketiga dalam Undang-undang Melaka menyebutkan tentang undang-undang Islam mengenai wali, ijab qabul pada kahwin, saksi, khiar, talak dan orang-orang yang boleh dikahwin. Bahagian ini adalah mengikuti undang-undang Islam dan ianya mungkin diterjemahkan dari kitab Abu Syuja' iaitu At Taqrib.

Begitu juga Bahagian Keempat dalam Undang-undang Melaka menyebutkan Undang-undang Islam mengenai jual-beli, orang muflis atau bankrap, pinjam-meminjam, amanah, ikrar, murtad dan acara. Bahagian ini mungkin diterjemahkan dari kitab Abu Syuja' iaitu At Taqrib,Ibn Al Qasim Al Ghazzi iaitu Fath Al Qarib dan Ibrahim Al Bajuri iaitu Hasyia Alal Fath Al Qarib.

Ada terdapat beberapa peruntukan dalam bahagian ini berlawanan dengan peruntukan di Bahagian Pertama dimana undang-undang adat telah disebutkan. Umpamanya ;

- Fasal 37 - 38 mengenai saksi-saksi dan acara adalah berlawanan dengan Fasal 14.

- Fasal 39 mengenai pembunuhan adalah berlawanan dengan Fasal 5 - 9.

- Fasal 40 mengenai zina dan liwat adalah berlawanan dengan Fasal 12.

- Fasal 41 mengenai memaki adalah berlawanan dengan Fasal 12:3

Jelaslah Undang-undang Melaka dalam bahagian ini memperuntukkan Undang-undang Islam mengenai pembunuhan, zina, tohmah dan minum arak.

Bahagian Kelima Undang-undang Negeri menyebut tentang tugas raja dan tugas rakyat dan tentang binatang yang masuk kawasan orang lain, hukum dapat barang yang ditinggal, rogol , rampasan, judi dan hutang.

Bahagian Keenam adalah tambahan yang dibuat di Johor mengenai hamba raja dan kesalahan anak-anak raja.

Categories: