Saya pernah menyebutkan dalam siri tulisan saya terdahulu dalam ruangan ini, pakaian Melayu seperti kebaya labuh, baju kurung, sarung dan seluar besar boleh diterima sebagai pakaian yang memenuhi keperluan menutup aurat menurut kehendak Islam.
Kemeja-T dan seluar yang terlalu ketat sehingga kelihatan bentuk badan dan pakaian yang terlalu nipis, tidak boleh dianggap pakaian Islam kerana ia tidak mampu menutup aurat dengan sempurna. Demikian juga pakaian yang bertulis kata-kata yang tidak manis disebut seperti I Love You, Kiss Me dan sebagainya, tidak sesuai dipakai sama ada oleh wanita atau lelaki Islam, kerana tulisan itu memberi erti yang negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai dan adab sopan Melayu dan Islam.
Aurat wanita Islam yang wajib ditutup supaya tidak dilihat lelaki yang bukan mahram dan juga wanita yang bukan muslim ialah seluruh badannya, kecuali muka, dua tangan dan dua tapak kaki menurut sesetengah pendapat. Saya setuju dengan pendapat ini kerana ia sederhana dan tidak menyulitkan wanita.
Ada beberapa pendapat lain turut menyatakan hukum dan batas-batas aurat wanita, misalnya kewajipan menutup aurat itu hanya khusus kepada isteri-isteri nabi. Wanita biasa dan bukan isteri nabi tidak wajib menutup aurat seperti yang disebutkan di atas, kerana tiada dalil menyebutkan dengan jelas bahawa mereka juga dikehendaki menutup aurat.
Selain itu, ada lagi pendapat yang agak keras iaitu wanita dikehendaki menutup seluruh badan termasuk muka, dua tangan dan kaki, kecuali sebelah mata kiri sahaja yang harus dibuka bagi keperluan bergerak ke sana sini. Bagi memenuhi keperluan ini, mereka perlu memakai pakaian seperti niqab yang menutup muka, di samping jilbab yang biasa dipakai wanita.
Saya cenderung kepada pendapat yang menyatakan muka dan dua tapak tangan harus dibuka kerana keperluan hidup harian mendesak wanita membuka muka dan tangan. Hidup harian yang dimaksudkan termasuklah pergerakan wanita yang berkerjaya, seperti guru dan pelajar. Mereka perlu membuka muka ketika berada di luar rumah dan ketika berinteraksi dengan murid-murid di bilik darjah, ketika berbincang dan menduduki peperiksaan dan di tempat kerja.
Saya kira pendapat ini cukup sesuai bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa dan mudah terutama bagi wanita dalam masyarakat seperti di Malaysia yang pada umumnya berkerjaya seperti lelaki. Wanita yang berkerjaya, pada anggapan saya, tiada alasan untuk tidak menutup aurat, tiada juga tanda-tanda menunjukkan bahawa pakaian yang menutup aurat itu mengurangkan tahap kecemerlangan dalam perkhidmatan mereka.
Pendapat sesetengah orang yang membenarkan wanita mendedah aurat dan sebahagian besar anggota badannya kepada umum agak keterlaluan. Sumber-sumber tafsir dan hadis menyatakan pendedahan aurat itu adalah aksi kaum jahiliah pada suatu ketika yang lalu dan ditolak oleh Islam.
Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum sama ada tapak kaki wanita juga termasuk bahagian daripada aurat yang wajib ditutup atau bukan aurat. Sesetengah mazhab menyatakan tapak kaki tidak wajib ditutup, kerana ia perlu dibuka bagi keselesaan berjalan, lagipun tapak kaki tidak mendatangkan reaksi negatif kepada kaum lelaki.
Dalam surah al-Nur, ayat 30-31 menyatakan batas-batas aurat dan perhiasan yang harus dan tidak harus dibuka. Menurut tafsir Ibn Abbas, muka dan dua tapak tangan atau disebutnya sebagai perhiasan zahir dikecualikan daripada anggota badan yang wajib ditutup. Perhiasan batin iaitu telinga, leher, rambut, dada, dua lengan dan betis hanya harus dibuka ketika di rumah atau ketika berada di hadapan keluarga terdekat iaitu bapa, anak-anak, ibu bapa mentua dan adik-beradik.
Anggota yang lebih sulit seperti belakang, perut, kemaluan dan paha, tidak harus dibuka sama sekali, sekalipun di hadapan keluarga terdekat atau sesama wanita, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kecuali kepada suami sahaja yang diizin melihat seluruh anggota isterinya.
Dengan kata lain, aurat wanita dari segi tempat terbahagi dua iaitu di dalam dan di luar rumah. Di dalam rumah ketika di hadapan mahram, tidak wajib ditutup anggota-anggota leher, rambut, lengan dada, betis dan perhiasan yang dipakai pada anggota-anggota itu. Ketika di luar rumah pula, biasanya wanita lebih terdedah kepada orang ramai, dia hanya harus membuka muka dan tangan.
Hukum ini difahami daripada firman Allah yang bermaksud: Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan orang perempuan yang beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya, semasa mereka keluar. Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan-perempuan yang baik. - (al-Azhab: 59).
Difahamkan perintah ini dikenakan kepada wanita-wanita yang masih muda kerana bimbang keselamatan mereka diganggu lelaki yang tidak bermoral. Tidak benar jika ada pendapat menyatakan Islam tidak mempercayai iman dan ketakwaan lelaki, kerana iman adalah soal yang terlalu nisbi sama ada lelaki atau wanita. Penutupan aurat adalah sebagai langkah pencegahan sebelum sesuatu kejadian buruk berlaku.
Wanita yang sudah lanjut usia atau disebut dalam al-Quran al-qaqaid min al-nisa, iaitu wanita yang tidak berminat lagi untuk berkahwin atau tidak lagi diminati lelaki, mereka harus membuka sebahagian pakaian luar yang menutup badannya, tanpa memakai perhiasan yang berlebihan kerana dibimbangi keselamatan mereka terancam atau diganggu.
Hukum ini dijelaskan dalam surah al-Nur, ayat 60 yang bermaksud: Mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, tanpa bertujuan mendedahkan perhiasan.
Namun jika mereka tetap mempertahankan penutupan aurat dengan lebih sempurna, ia adalah lebih baik dan menjamin keselamatan mereka. Saya berpendapat wanita tua ada baiknya juga memilih hukum yang dilonggarkan itu serta menerima keterbukaan Islam dalam soal aurat dan cuba merealisasikan hikmah yang tersirat di sebaliknya, seperti merapatkan hubungan orang tua dengan masyarakat sekitar dan lain-lain.
Aurat wanita sesama wanita pula ialah seluruh badan kecuali kawasan antara pusat dan lutut. Kawasan ini haram dilihat atau didedah, sekalipun tanpa berlaku fitnah yang dibimbangi.
Batas-batas aurat lelaki pula, ulama sepakat menyatakan kemaluan hadapan dan belakang merupakan aurat mughallazah (keras) yang wajib ditutup. Tetapi mereka berbeza pendapat tentang hukum paha, sama ada ia juga wajib ditutup.
Kebanyakan ulama berpendapat paha termasuk aurat yang wajib ditutup bagi lelaki. Ini bermakna, aurat lelaki ialah kawasan antara pusat dan lutut. Mereka bersandarkan sebuah hadis riwayat Bukhari daripada Jarhad dan lain-lain yang menyatakan paha itu aurat. Sebahagian ulama berpendapat hadis ini terdapat beberapa kelemahan yang mencacatkan kesahihannya dari segi hujah dan pengambilan hukum.
Sesetengah ulama pula berpendapat paha tidak termasuk aurat yang wajib ditutup kerana ada hadis Anas yang juga diriwayatkan oleh Bukhari. Hadis itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membuka paha sucinya. Pendapat ini didukung oleh Ibn Hazm dan Imam Malik. Dalam kitab-kitab mazhab Malik menyatakan bahawa aurat lelaki hanya terbatas kepada dua bahagian kemaluan sahaja.
Sebahagian ulama fikah cuba menserasikan antara dua pendapat ini dengan mencari jalan tengah, termasuk Imam Bukhari sendiri yang berpendapat hadis riwayat Jarhad lebih sempurna bagi penutupan aurat, sekalipun daif, manakala hadis Anas pula lebih sahih dari segi riwayat. Ini bermakna Imam Bukhari lebih cenderung kepada hadis Jarhad dalam hal penutupan aurat yang membabitkan hukum masyarakat.
Imam al-Syaukani juga lebih cenderung kepada hadis Jarhad yang menyatakan paha itu aurat. Menurut beliau, hadis Anas walaupun kedudukannya lebih kuat, namun ia lebih merupakan suatu pemberitahuan tentang keadaan nabi. Jalan pemberitahuan ini lebih khusus kepada nabi sahaja. Maksudnya, hukum itu tidak boleh diamalkan oleh umatnya secara umum dan menyeluruh.
Ibn al-Qayyim pula cuba mencari jalan serasi yang lain, beliau mengatakan aurat itu terbahagi dua iaitu mughallazah (berat) dan mukhaffafah (ringan). Kemaluan hadapan dan belakang dikategorikan sebagai aurat mughallazah (berat), paha pula dikategorikan sebagai mukhaffafah (ringan). Bagaimanapun kedua-duanya dikira aurat dan wajib ditutup juga.
Pendapat yang bersandarkan hadis Anas ini memberi sedikit kelonggaran kepada ahli sukan dan pasukan beruniform yang memilih pakaian itu jika ia tidak mengganggu pandangan orang ramai dan penonton. Hadis riwayat Anas menjadi sebaik-baik hujah kepada mereka.
Saya berpendapat majoriti masyarakat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie pada umumnya masih belum dapat menerima pendedahan paha bagi kaum lelaki.
Walaupun sebelum ini beberapa pasukan beruniform mengenakan pakaian seluar pendek seperti polis dan kanak-kanak sekolah. Pakaian itu kini bertukar kepada seluar panjang, kerana masyarakat Islam dan budaya Melayu tidak dapat menerima pendedahan paha kepada umum.
AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat : “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (Orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan emninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya”.
2. Sementara Imam Maliki dan Imam Syafi’ie berpendapat : “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya”.
BATAS-BATAS AURAT LELAKI
Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : “ Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada ( tidur ) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian”.
Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;
1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat : ” Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.
2. Imam maliki dan Imam Syafi’ie berpendapat : ” Aurat lelaki ada dua keadaan : (1) Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja. (2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh badannya. (Rujuk al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1 dalam bab Mabhas Sitr Al Aurah).
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Para Ulama bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.
Firman Allah SWT adalam Surah An-Nur ayat : 31 : yang mafhumnya :
“Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada”.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Firman Allah lagi dalam Surah Al-Ahzab ayat 53 yang bermaksud :
“ … Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluankepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …”
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284 disebut riwayat dari Ibn Syahab dari ’Urwah dan dari Aishah, katan Aisyah R.anha : ”Moga-moga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”.
Hadith riwayat Abu Daud daripada Saidatina Aisyah R.anha bahawa suatu hari kakaknya iaityu Asma’ binti Abu Bakr datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya : ” Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini ( Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya)”.
BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB
Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah ;
1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : ”Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (Hadith riwayat Al-Bazar dan At-Tirmizi).
2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah aklaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya ( ajnabi ) auratnya adalah seluruh tubuh badan.
Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ( bukan mahram). Perbezaan pendapat;
1. MAZHAB SYAFI’IE : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).
2. MAZHAB HAMBALI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
3. MAZHAB HANAFI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.
4. MAZHAB MALIKI : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM
DENGAN WANITA.
1. Suami
2. Bapa sendiri ( bapa kandung)
3. Bapa suami (bapa mertua)
4. Anak lelaki
5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
9. Wanita Islam yang berakhlak.
10. Hamba lelaki yang mereka miliki
11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.
12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
13. Anak lelaki susuan.
14. Bapa susuan.
15. Saudara susuan.
16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.
17. Menantu lelaki.
DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM BEBERAPA KEADAAN.
1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi
5. Ketika mengajar
الحمد الله اللهم صل وسلم على سيدنا محمد الفاتح الخاتم وآله وصحبه وكل مسلم ومسلمة
السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Abstrak:
Untuk menjaga syariat ini pada semua aspeknya,Syariat islam telah mengharamkan zina yang boleh menuju ke kemuncak kerosakan sesuatu kehormatan, sehingga syariat islam telah melarang dan menutup semua punca yang akan mendorong kepada penzinaan dan mjenegah semua perantaraan yang mendorong kearah perbuatan maksiat.
Bahagian Pertama:Ta'rif Aurat
Dari segi bahasa membawa maksud kekurangan, Dari segi istilahnya pula, apa-apa yang wajib ditutupnya dan apa-apa yang haram untuk dilihatnya (anggota badan).
Dalil yang mewajibkan bagi menutup aurat:
(يَابَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلاَ تُسْرِفُوا إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ) (الأعراف: 31).
Maksudnya:( Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid [534], makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan [535]. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.)
Ibnu Abbas mentafsirkan perkataan زِينَتَكُم sebagai pakaian bagi menutup aurat dan dalil tersebut juga digunakan untuk mewajibkan menutup aurat.
Rasulullah (S.A.W) bersabda:
عن عائشة أن النبى (ص) قال :( لا يقبل الله صلاة حائض الا بخمار)
(رواه الخمسة الا النسائي)
Maksudnya:( Tidak diterima sembahyang (seseorang perempuan) itu yang haid akan tetapi (diterima) dengan menutup kepala.)
خمار* = Apa yang digunakan untuk menutupi kepala perempuan.
Dan bersabda lagi Rasullulah (S.A.W):
(يا أسمأ, ان الامرأة اذا بلغت المحيض, لم يصلح أن يرى منها الا هذا وهذا, وأشار الى وجهه وكفيه)
Maksudnya:( Wahai Asma' Sesungguhnya apabila seseorang perempuan telah baligh, Tidak boleh diperlihatkan ini dan ini. Sambil mengisyaratkan kearah muka dan tapak tangan.)
Dan sememangnya telah bersepakat ulama' wajib menutup aurat bagi wanita secara mutlak.didalam sembahyang dan selainnya.
Syarat –Syarat bagi menutup aurat:
1.Wajib menutup aurat dengan menggunakan kain yang tebal (tidak terlalu nipis): Maka wajib menutup dengan menggunakan kain yang berwarna jelas (tidak warna yang seolah-olah menampakkan tubuh atau warna kulit).
Mazhab Syafie berpendapat:
2.Syafieyyah dan Hanabalah mensyaratkan: Pakaian yang menutup aurat itu perlulah secara menyeluruh (tidak ada lubang-lubang atau yang sebagainya). Dan ini bermakna tidak memadai hanya dengan berkain tebal dan berwarna jelas.
3.Dan perlu juga menutup pada bahagian sisinya (disebalah kanan dan kiri).
Bahagian Kedua:Batasan Aurat
Lelaki: Bermula dari pusat hingga ke lutut.
Ini berdalilkan hadis :
حديث الدارقطني وأحمد وأبي داود عن عمرو بن شعيب عن ابيه عن جده قال:(ما دون سرته حتى يجاوز ركبته)
Maksudnya: (Diantara benda (aurat) yang tidak boleh (dilihat) ialah dari pusat sehingga lutut.)
Perempuan dan khunsa: Keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan termasuk juga rambut.
Ini berdalilkan firman Allah Taala:
(وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوْ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الإِرْبَةِ مِنْ الرِّجَالِ أَوْ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلاَ يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ) (النور: 31).
Maksudnya: (Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung).
Perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya iaitu apa yang zahir daripadanya (muka dan kedua tapak tangan).
Keseluruhan ulama bersepakat suara wanita bukanlah aurat, Ini berdasarkan tindakan para sahabat sendiri mendengar perkara yang berkaitan dengan agama daripada para isteri Rasullulah (S.A.W). Akan tetapi haram mendengar suara wanita yang dilenggok-lenggokkan atau dilembutkan dengan tujuan untuk menggoda yang boleh membangkitkan nafsu, walaupun suara bacaan Al-Quran. Kerana dibimbangi akan berlakunya fitnah.
Bahagian Ketiga :Perbincangan Berkenaan Dengan Hukum Bersalamn Diantara Lelaki Dan Perempuan.
Sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi, permasalahan hukum berjabat tangan diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim merupakan masalah yang amat penting dan untuk memutuskan hukumnya bukan semudah yang disangka. Ianya memerlukan kesungguhan dan pemikiran yang tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir luaran yang akan menjerumus kepada mengikut hawa nafsu semata-mata.
Sebelum kita mendiskusikan permasalahan ini, Sayugianya saya mengeluarkan dua permasalahan yang diperbincangkan oleh para Fuqaha'.
Pertama:Diharamkan berjabat tangan dengan wanita apabila disertai dengan syahwat dan taladzzud (bersedap-sedap) dari salah satu pihak, lelaki atau wanita (kalau keduanya dengan syahwat sudah semestinya lebih terlarang lagi) atau kemungkinan akan berlakunya fitnah (dengan bersalaman tersebut).
Berdalilkan sabda Rasulullah (S.A.W):
عن أميمة بنت رقيقة, قال (ص) (انى لا أصافح النسأ) - رواه الموطأ والترمزي والنسائى
Maksudnya:Dari Umaimah binti Raqiqah, bersabda Rasulullah (S.A.W) (Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita)
Kedua:Dibolehkan berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tidak punya ghairah terhadap lelaki, samalah hukumnya terhadap kanak-kanak yang belum mempunyai syahwat terhadap lelaki, kerana berjabat tangan dengan mereka itu aman dari sebab-sebab fitnah. Begitu juga bila lelaki sudah tua dan tidak punya ghairah terhadap wanita.
Hal ini berdasarkanpada riwayat dari Abu Bakar r.a bahawa beliau pernah berjabat tangan beberapa orang wanita tua. Dan Abdullah bi Zubair mengambil pembantu wanita tua untuk merawatnya, adakalanya wanita tua itu mengusapnya dengan tangannya dan membersihkan kepalanya.
Dan ini juga berdasarkan dalil daripada firman Allah Subhanahuwataala:
(وَالْقَوَاعِدُ مِنْ النِّسَاءِ اللاَّتِي لاَ يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيم)ٌ (النور: 60).
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (Maksudnya: pakaian luar yang kalau dibuka tidak menampakkan aurat) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Bijaksana.
Bahagian Keempat:Perbincangan Berkenaan Hukum Pergaulan Diantara Lelaki Dan Perempuan.
Pergaulan diantara lelaki dan perempuan (ikhtilat) merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliyah dimana ia juga berasaskan kepada nilai-nilai dan sistem hidup jahiliyah. Ia merupakan bentuk pergaulan yang telah ditolak oleh islam semenjak kedatangan Rasulullah saw yang membawa sisitem dan nilai hidup yang dipandu al_Quran dan as-Sunnah.
Ikhtilat Menurut Hukum Islam
Secara teorinya Islam yang dibina di atas asas aqidah dan keimanan yang mutlak kepada Allah bertujuan untuk menonjolkan ciri-ciri kemanusiaan dan meninggikan darjat kemanusiaan itu di atas segala darjat yang lain, oleh itu pada praktiknya ia tidak dapat menerima sebarang bentuk pergaulan yang diasaskan di atas ciri-ciri kebinatangan di dalam proses pembentukan dan existensi (wujudiah) masyarakatnya. Ini selaras pula dengan kejadian manusia sebagai makhluk yang baik. [1]
Firman Allah:
والتين والزيتون (1) وطور سينين (2) وهذا البلد الآمين (3) لقد خلقنا الآنسان في أحسن تقويم (4)
Maksudnya: “Demi buah tin dan zaitun dan gunung Tur Sina serta negeri Mekah yang aman ini. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [i][2]
Tegasnya Islam bertujuan melahirkan suatu keperibadian dan generasi manusia yang menepati ciri-ciri kejadiannya yang sangat tinggi supaya ia dapat memenuhi kembali tugasnya sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, menerima arahanNya semata-mata, begitu juga tunduk dan patuh kepadaNya semata-mata, dan sebagai pemimpin kepada ummat manusia seluruhnya.
Ikhtilat pada prinsipnya dijelmakan dalam bentuk hubungan bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, ia boleh berlaku samada di tempat sunyi atau di tempat yang terbuka. Kesan dari perhubungan semacam ini membuka ruang kepada berlakunya perzinaan di dalam masyarakat.
Sabda rasulullah saw:-
Maksudnya: “Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang ketiganya.” [3]
Syariat Islam mengharamkan kepada lelaki melihat kepada wanita lain yang bukan muhrim. Seorang lelaki tidak diperbolehkan memandang kepada orang perempuan selain kepada isterinya dan wanita-wanita muhrimnya.
Firman Allah:-
قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم، ويحفظوا فروجهم… وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن، ويحفظن فروجهن… ( النور؛ 31 )
Maksudnya: “Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari oarang-orang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka…dan katakanlah kepada orang perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka.” [4]
Sabda Rasulullah saw :
(يا علي لا تتبع النظرة النظرة فانمالك الأواي وليست لك الآخرة)
Maksudnya: “Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (dosa ke atasmu).” [5]
Tersebut dalam kitab al-Majmuk “Bahawa apabila seorang lelaki ingin melihat kepada perempuan yang ajnabiah tanpa sebab yang syar’ie, maka haram baginya yang demikian itu. Haram baginya melihat samada aurat perempuan itu ataupun selain auratnya… dan haram juga kepada perempuan melihat kepada lelaki yang ajnabi samada kepada auratnya atau selain auratnya tanpa sebarang sebab yang syar’ei… maksud dari penegahan ini keatas golongan lelaki adalah untuk mengelakkan mereka daripada godaan syaitan (الافتتان) dan godaan ini juga berlaku ke atas golongan perempuan lantaran golongan perempuan itu terlebih segera menerima godaan kerana sifat syahwatnya yang terlebih kuat, maka haram keatasnya penglihatan itu”. [6]
2.4 Oleh kerana menahan pandangan mustahil dapat dilakukan dalam bentuk pergaulan yang bebas (bercampur lelaki dan perempuan) maka sayugialah Islam bertindak mengharamkannya, dan Islam menetapkannya kepada setiap lelaki dan perempuan yang ingin bermuamalat bahawa ia mestilah mengadakan sekatan yang menghalang penglihatan di antara keduanya. Firman Allah:-
واذا سألتموهن متاعا فاسألوهن من وراء حجاب (اللأحزاب)
Maksudnya: “Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu.” [7]
Al-Imam Qurtubi di dalam mentafsirkan firman Allah ini berkata: “Pada ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa Allah mengizinkan perempuan mukminah menguruskan permasalahan mereka melalui belakang tabir samada masalah itu merupakan hajat-hajat yang mendatang atau masalah-masalah hukum yang memerlukan fatwa. Termasuk di dalam perintah ini semua golongan wanita, berdasarkan asas-asas syariah yang terkandung di dalam ayat ini bahawa tubuh perempuan seluruhnya adalah aurat termasuklah badan dan suaranya seperti yang telah dinyatakan. Maka adalah haram mendedahkan aurat tersebut (kepada penglihatan lelaki ajnabi) melainkan kerana keperluan seperti persaksian yang dilakukan keatasnya atau pengubatan pada tubuhnya atau pun soalan-soalan atas apa yang berlaku khusus kepadanya.
Sabda Rasulullah saw:
(لا يخلون رجل بامرأة ولا تسا فرون امرأة الاومعها محرم)
Maksudnya: “Tidak boleh bersunyi seseorang dari kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersamanya muhrim.” [8]
Kecenderungan naluriah antara lelaki dan perempuan adalah kecenderungan yang dalam sekali. Membangkitkan kecenderungan ini pada setiap saat akan menambah geloranya lagi. Pandangan mta merangsang, gerak geri badan merangsang, gelak ketawa merangsang dan gurau senda membangkit hasrat. Jalan yang aman ialah mengurangi hal-hal yang membangkitkan hasrat tersebut, dan itulah jalan yang dipilih oleh Islam. [9] Berasaskan adab-adab yang kukuh ini memastikan berlakunya hubungan yang bersih, mulia dan terpelihara. Firman Allah:-
ذلكم أطهر لقلوبكم وقلوبهن (ألأحزب:53)
1.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Almarhum Abdullah Nasih Ulwan bahawa semua nas-nas al_Quran dan nas-nas hadis nabi ini mengharamkan percampuran lelaki dan wanita (ikhtilat) secara pasti, tidak syak lagi dan tidak ada jalan untuk dipertelingkahkan lagi. [10] Seterusnya cara beginilah yang telah dilaksanakan bagi umat Islam pada semua zaman sejarahnya pada abad-abad yang lalu. Oleh itu menjadi kewajipan setiap muslim menegah sebarang kemungkaran ikhtilat yang berlaku.
"ربنا لا تزغ قلوبنا بعد أذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة انك انت الوهاب”
- Amirul Amin -
Categories:
Aurat