Latest Stories

1.LATAR BELAKANG


Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia kini, harus difahami berdasarkan perkembangan perundangan negara terutama zaman sebelum merdeka iaitu zaman penjajahan Inggeris. Pengalaman-pengalaman mereka menjajah negara ini dan seterusnya memperkenalkan beberapa statut atau undang-undang bertulis dimana sebahagiannya telah dikekalkan hingga ke hari ini juga harus diteliti kerana ia mempunyai hubungan dalam konteks perkembangan pentadbiran undang-undang Islam. Beberapa istilah berkaitan misalnya istilah “undang-undang Islam” dan istilah “pentadbiran” undang-undang itu sendiri ada hubungan dengan perlaksanaan undang-undang itu sendiri.



Secara umum, istilah “pentadbiran” undang-undang lebih hampir kepada urusan siyasah yang membawa maksud bagaimana mengurus sesuatu perkara yang merujuk kepada kehendak dan kepentingan masyarakat itu sendiri atau dengan perkataan lain difahami sebagai “kuasa budibicara melalui autoriti pemerintah yang dibuat secara rasmi”(1). Peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan itu membawa kebaikan jika dirujuk berdasarkan semangat atau ruh Syariat itu sendiri. Sebab itu, realitinya peruntukan undang-undang yang digubal semasa penjajahan Inggeris berkaitan dengan pentadbiran hukum Syarak di negara ini sebahagiannya telah dilanjutkan selepas merdeka hingga kini meskipun konsep atau niat asal penggubalan undang-undang tersebut lahir secara kebetulan semata-mata untuk menjaga kepentingan atau maslahah masyarakat yang mereka tadbir.


Sebagaimana dimaklumi, penjajahan Inggeris di Tanah Melayu bermula di negeri-negeri yang dikategoriikan sebagai Negeri-negeri Selat dan kemudiannya di Negeri-negeri Melayu yang lain yang diistilahkan sebagai negeri-negeri Melayu Bersekutu dan negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sejarah menukilkan bahawa sebahagian kuasa pentadbiran mereka ditentukan melalui autoriti Sultan sebagai ketua negeri dan ketua agama di negeri masing-masing dan kuasa eksekutif di tangan mereka. Ini boleh dilihat selepas Perjanjian Pangkor 1874(2) dan kemudiannya banyak mempengaruhi sistem pemerintahan negara ini selepas merdeka termasuk undang-undang pentadbiran hal ehwal Islam di negeri-negeri. Pengalaman dan kecekapan pentadbiran mereka amat berkesan sekali mempengaruhi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam sehingga ke hari ini. Umum memahami bahawa antara perkara dipersetujui dalam perjanjian tersebut ialah mereka tidak mencampuri dalam urusan hal ehwal agama Islam. Namun, hampir kesemua negeri-negeri Melayu mempunyai suatu undang-undang pentadbiran agama Islam yang hampir seragam yang ditumpukan kepada soal undang-undang diri bagi orang-orang Islam di negeri masing-masing misalnya undang-undang pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang-orang Islam (3), dan undang-undang penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Kadi.(4) Mereka beranggapan bahawa mereka tidak mencampuri urusan agama tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa eksekutif yang mutlak maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan awam tanpa mengira agama. Sebab itu, mereka berjaya memperkenalkan undang-undang pentadbiran bagi tujuan penyelarasan semua undang-undang yang mereka perkenalkan. Malah, dalam soal yang menyentuh secara spesifik tentang hukum Syarak iaitu dalam menentukan tafsiran sesuatu perkara itu sebagai hukum Syarak atau adat Melayu dimana mempunyai hubungkait dengan soal keterangan atau persoalan yang tidak jelas, maka peraturan bertulis diperkenalkan(5) bagi memberi kuasa kepada Majlis Negeri (State Council) mengesahkan sesuatu perkara yang dibangkitkan itu sama ia releven dengan hukum Syarak atau adat Melayu. (6)


Secara umum, pada fasa pemerintahan mereka, undang-undang substantif yang diperkenalkan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu undang-undang keluarga, harta dan kesalahan-kesalahan terhadap agama. Pertama, kandungan undang-undang keluarga meliputi perkara yang berkaitan dengan permulaan kepada perkahwinan misalnya pertunangan dan mungkir janji pertunangan, mahar; semasa akad misalnya soal wali dan sebagainya; perceraian misalnya talak biasa, khul` dan fasakh. Sementara kedua, perkara yang berkaitan dengan harta adalah tertumpu kepada harta pusaka, wasiat dan harta wakaf orang-orang Islam yang banyak berkaitan dengan undang-undang bertulis lain dan bukan perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam misalnya Ordinan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)(7) dimana kuasa diberikan kepada Pegawai Pemungut Hasil Tanah untuk mentadbir serta menyelesaikan pertikaian, dan sebarang rayuan mengenai pertikaian berkenaan akan dibuat di Mahkamah Sivil (Mahkamah Tinggi). Hingga kini, pertikaian kes berkenaan dibuat di Mahkamah Sivil dimana biasanya hukum Syarak akan diambil kira jika tidak menyentuh undang-undang bertulis atau selaras dengan undang-undang bertulis yang dipakai.(8) Ketiga, perkara yang berkaitan dengan kesalahan terhadap agama yang bermula dari kesalahan-kesalahan misalnya tidak mendaftarkan perkahwinan dan perceraian, mengakadnikah tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang hinggalah kepada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan moral misalnya melakukan zina, khalwat, meminum minuman keras serta hal-hal yang menyentuh akidah misalnya tidak bersolat Jumaat tanpa uzur, tidak membayar zakat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan seumpamanya.


Kecekapan mereka memperkenalkan sistem perundangan menerusi penubuhan Majlis Negeri yang bertindak sebagai badan pemutus tindakan-tindakan eksekutif disamping berfungsi sebagai badan yang mengesahkan sesuatu tindakan menerusi statut-statut bertulis yang diperkenalkan dan prinsip “duluan mengikat”(9) banyak mempengaruhi tafsiran status dan rujukan hukum Syarak atau undang-undang Islam jika kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Sivil. Tambahan pula, pemakaian undang-undang lazim Inggeris (English common law) dan peraturan ekuitinya yang dikuatkuasakan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1937 melalui Enakmen Undang-undang Sivil dan diluaskan ke negeri-negeri lain pada tahun 1951 dan dikenali kemudiannya sebagai Ordinan Undang-undang Sivil 1956(10) telah dengan sendirinya mengukuhkan pentadbiran undang-undang sivil dan sedikit sebanyak menyempitkan tafsiran undang-undang Islam. (11)


Kes-kes yang diputuskan semasa penjajahan yang melibatkan soal adat Melayu dan hukum Syarak juga mempengaruhi peruntukan-peruntukan perlembagaan yang digubal kemudiannya dan seterusnya memberi kesan kepada perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini. Biasanya hakim-hakim Inggeris tidak dapat membezakan antara perkara hukum Syarak dan adat Melayu atau adat Melayu yang selaras dengan hukum Syarak atau sebaliknya. Boleh disimpulkan bahawa kebanyakan penghakiman dibuat banyak mengambilkira aspek prosedural dan aspek keterangan yang jika dipenuhi maka barulah mengambilkira hukum Syarak atau yang diistilahkan sebagai undang-undang Islam.(12) Boleh dikatakan semua kes yang diputuskan yang berkaitan dengan pemakaian undang-undang Islam melibatkan kes-kes sivil yang secara relatifnya boleh ditafsirkan sebagai perkara yang mempunyai hubungkait dengan undang diri bagi orang-orang yang menganut agama Islam(13) dan tidak sama sekali melibatkan undang-undang jenayah awam.(14) Malah, kesalahan-kesalahan yang ada ditafsirkan sebagai kesalahan agama atau kesalahan melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran agama. Sebab itu, meskipun dalam sejarah penghakiman mereka di Tanah Melayu ada dicatitkan yang undang-undang Islam bukan undang-undang asing tetapi sebagai undang-undang negeri, sebenarnya ia hanya merujuk kepada undang-undang diri.(15) Pengalaman-pengalaman ini(16) adalah selaras dengan laporan Suruhanjaya yang mencadangkan apakah bentuk dan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang sesuai kepada sebuah negara yang akan merdeka pada tahun 1957 itu.


2.TAKAT KUASA KERAJAAN NEGERI DALAM MENTADBIR HAL EHWAL AGAMA ISLAM


Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai undang-undang tertinggi negara.(17) Dari segi definisi, perlembagaan merupakan suatu himpuan peraturan tertinggi yang telah dipersetujui bersama dan maksud setiap peruntukan memberi manfaat kepada warga selain memasyurkan sebagai sebuah negara merdeka.. Pembebasan sesebuah tanah jajahan seperti Malaysia dan pembentukan sesebuah negara moden biasanya ditanda oleh pembentukan sebuah perlembagaan bertulis.


Keistimewaan Perlembagaan Persekutuan ialah dengan memasukkan empat elemen tradisi dimana antaranya(18) ialah agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan,(19) serta kedudukan dan keistimewaan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dalam negeri sebagaimana diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri. Tertakluk kepada Perlembagaan Negeri, segala hak, keistimewaan dan kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Agama Islam tidak tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan dan upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja adalah meliputi seluruh Persekutuan, maka atas sifat Raja sebagai ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.(20) Perlembagaan-perlembagaan bagi negeri-negeri yang tidak beraja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah(21) dan Sarawak) hendaklah membuat peruntukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri itu.(22) Yang di-Pertuan Agong juga menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dimana Parlimen diberi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran hal ehwal Islam dan penubuhan Majlis Agama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam. (23)


Bertitik tolak dari semangat Perkara 3 (1-5), maka perkara-perkara lain berkaitan mempunyai hubungan dengan pentadiran hal ehwal agama Islam misalnya penubuhan Majlis/Jabatan Agama Islam di negeri-negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan lain-lain.(24) Selaras dengan tuntutan semasa untuk memperkemaskan pentadbiran hal ehwal Islam, kerajaan-kerajaan negeri telah mula mengasingkan tiga institusi penting iaitu Majlis /Jabatan Agama, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah apabila undang-undang induk (pentadbiran hukum Syarak) dipinda dengan memperuntukkan fungsi Majlis secara jelas iaitu membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong/Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubung dengan agama Islam di dalam negeri kecuali perkara-perkara hukum Syarak iaitu penubuhan Jabatan Mufti dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan iaitu penubuhan Mahkamah Syariah, dan. Majlis Agama negeri menjadi pihak berkuasa utama di dalam negeri masing-masing. (25)


Apa yang perlu difahami ialah dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam, Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri masing-masing termasuk di Wilayah-wilayah Persekutuan. Apa yang menarik perhatian ialah di Wilayah-wilayah Persekutuan, undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam adalah diluluskan oleh Parlimen yang juga berfungsi sebagai Badan Perundangan Persekutuan. Namun, perlu difahami bahawa status undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama atau hukum Syarak hanya berkuat kuasa di dalam Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja dan sama seperti undang-undang Islam yang digubal di negeri-negeri (dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 Senarai Negeri Butiran 1). Kuasa tersebut dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Senarai 1 Senarai Persekutuan Butiran 4 (k) yang memperuntukkan bahawa “Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk menentukan Hukum Syarak(26) dan lain-lain undang-undang diri bagi maksud undang-undang Persekutuan.”(27) Malah, dalam Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan dimana peruntukan dibuat bagi memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran hal ehwal Islam dan penubuhan Majlis Agama Agama Islam.


Kerajaan-kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan iaitu peruntukan hukuman bagi kesalahan-kesalahan termasuk kesalahan jenayah Syariah untuk seluruh Persekutuan,(28) namun peruntukan yang diluluskan hanya berkuatkuasa di negeri-negeri jika Badan Perundangan Negeri menggubal atau meminda undang-undang kesalahan jenayah Syariah di negeri masing-masing supaya selaras dengan peruntukan berkenaan. Badan Perundangan Negeri tidak diberi kuasa menggubal suatu peruntukan yang melebihi daripada peruntukan berkenaan dan harus mengambikira perkara 75 Perlembagaan Persekutuan. (29)


Kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga diberi kuasa untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di bawah Jadual Kesembilan Senarai 2 Senarai Negeri Butiran 1 memperuntukkan:


• Hukum Syarak dan Undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskawin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat;


• Wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan;


• Zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; (30)


• Masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;


• Mengadakan atau menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;


• Keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syar`iyyah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan;


• Mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam;


• Menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.


3.CABARAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM


- Peringkat Persekutuan


Selepas Merdeka, usaha-usaha di peringkat Persekutuan telah dibuat untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang Islam. Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKHEIM) yang dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu (MRR) dan urusetianya ialah Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara fungsi Majlis ini ialah “memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja, kerajaan-kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri atau apa-apa perkara berkenaan perundangan atau pentadbiran agama Islam dan pelajaran agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau menggalak persamaan undang-undang atau pentadbiran.”(31) Untuk tujuan itu, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan di bawah urusetia dan termasuklah Jawatkuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan lain-lain. Sejauh penelitian, penubuhan MKHEIM dan JAKIM adalah selaras dengan kehendak peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 38 (2) (b) (c) yang menjelaskan tugas-tugas MRR antara lain ialah “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan” dan “mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat dan memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan MRR atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan MRR”


Walau bagaimanapun, sebagaimana dijelaskan bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri termasuk juga di Wilayah-wilayah Persekutuan, maka usaha-usaha penyeragaman di peringkat kebangsaan adalah bergantung kepada kuasa budibicara kerajaan-kerajaan negeri. Pihak yang bertindak sebagai urusetia sebenarnya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menentukan kerajaan-kerajaan negeri mengikuti model atau syor penyeragaman yang telah disediakan itu. Sebaliknya kerajaan-kerajaan negeri walaupun sedia menerimapakai suatu model undang-undang yang sepatutnya diterimapakai, tetapi tiada halangan dari sudut perundangan bagi pihak kerajaan-kerajaan negeri meminda mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang disyorkan itu terutama bagi kesesuaian di negeri masing-masing. Sebab itu, sekali lagi mutakhir ini suatu penyelarasan menyeluruh cuba dibuat dengan memperkenalkan undang-undang keluarga yang baru. Di bawah undang-undang yang baru ini, tiada banyak perubahan yang dipinda kecuali yang paling ketara iaitu soal poligami iaitu memberi kuasa kepada mahkamah memanggil wali, isteri yang sedia ada dan lain-lain yang berkenaan hadir di Mahkamah untuk memberi keterangan serta permohonan pihak-pihak untuk membahagikan apa-apa harta atau aset yang dikumpulkan dalam tempoh perkahwinan setelah Mahkamah membenarkan permohonan suami. Sehingga kini, hanya beberapa buah negeri sahaja yang mengemukakan deraf undang-undang berkenaan untuk diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri.(32) Sebagaimana dijelaskan, tiada halangan bagi sesetengah negeri membuat pindaan terhadap deraf undang-undang yang kemudiannya diluluskan itu. (33)


Usaha meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga misalnya peruntukan "Perkara 121 (1A)" (34) merupakan satu usaha untuk menjelaskan bidang kuasa Mahkamaha Syariah dan Mahkamah Sivil. Menjadi satu cabaran kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang tertentu yang memberi kuasa yang jelas dan eksklusif kepada Mahkamah Syariah setakat yang dibenarkan Perlembagaan.


Begitu juga dalam konteks selain undang-undang yang diistilahkan sebagai “undang-undang diri”, pengaruh ajaran Islam atau hukum-hukum Islam telah mula mendapat tempat dan secara langsung dapat membantu ke arah pelaksanaan undang-undang Islam yang menyeluruh misalnya dalam sistem perbankan, takaful dan pajak gadai. (35)
-Peringkat Kerajaan Negeri


Mulai awal tahun 1980-an, kerajaan-kerajan negeri mula mengasingkan perkara yang berkaitan dengan undang-undang keluarga daripada undang-undang induk dengan menggubal undang-undang keluarga Islam yang baru (36) sebagaimana yang disyorkan di peringkat kebangsaan. Undang-undang baru ini dikatakan banyak mengandungi pembaharuan misalnya mengenai kesalahan-kesalahan matrimoni, peraturan-peraturan berpoligami, soal perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah dan lain-lain. Perkembangan yang positif ini dilihat sebagai usaha kerajaan Persekutuan mengatasi sesetengah rungutan masyarakat Islam di dalam negara tentang perlunya pembaharuan dalam pentadbiran undang-undang Islam terutama undang-undang keluarga yang dikatakan tidak memberi keadilan kepada wanita dan seringkali Mahkamah Syariah akan menjadi sasaran kritikan kerana dikatakan berat sebelah memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai. (37)


Sebagaimana dijelaskan, dari segi pentadbiran, tindakan sudah dibuat untuk memisahkan antara Mahkamah Syariah yang disebut sebagai institusi yang mentadbir keadilan dan Majlis Agama sebagai pihak berkuasa utama selepas Ketua Agama Islam dalam hal ehwal agama Islam dan Jabatan Kemuftian bertanggungjawab mentafsirkan dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai hukum Syarak. (38)


Dalam hal atau perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak, sesetengah negeri cuba melakukan sendiri pindaan-pindaan dengan memanfaatkan peruntukan-peruntukan di negeri-negeri lain yang dianggap terkehadapan dan negeri-negeri berkenaan sedang atau akan berhadapan dengan masalah yang sama. Sebagai contoh, dalam perkara status pemelukan Islam dalam kes percubaan keluar agama(39) dan isu mengenai anak yang masih di bawah umur 18 tahun. Merujuk beberapa kes yang diputuskan di Mahkamah Sivil dimana mahkamah ini tidak ada bidang kuasa dalam menentukan status akidah seseorang,(40) malah sebaliknya, ia menjadi kuasa badan perundangan negeri menggubal undang-undang dan memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan tindakan cuba keluar agama(41) atau status anak bawah umur di bawah penjagaan seseorang. Misalnya peruntukan yang jelas dibuat oleh sesetengah negeri yang menyebut bahawa seseorang yang didaftarkan memeluk agama Islam hendaklah bagi semua maksud termasuk mana-mana undang-undang Persekutuan atau negeri dan untuk semua masa diiktiraf sebagai seorang Islam dan jika apa-apa soal timbul di dalam negeri sama ada seseorang itu telah memeluk Islam dan orang itu tidak didaftarkan dalam daftar memeluk Islam atau tidak didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang negeri sebagai orang yang telah memeluk Islam, maka soal itu hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Syariah(42) berdasarkan kepada hukum Syarak. Jika pada saat ia memeluk Islam, seseorang itu sama ada lelaki atau perempuan ada mempunyai anak kandung atau anak angkat yang belum mencapai umur baligh mengikut hukum Syarak, maka kanak-kanak yang berada di dalam jagaannya hendaklah dianggap telah memeluk Islam. (43)


Terdapat juga negeri cuba memanfaatkan kuasa yang diberi oleh Perlembagaan dengan menggubal undang-undang baru(44) atau mengembangkan undang-undang induk yang sedia ada bagi memantapkan pentadbiran. (45)


Kebanyakan negeri telah menyelaraskan peruntukan hukuman sebagaimana ditetapkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1984 (Pindaan) dengan beberapa peruntukan dalam Akta/Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri termasuklah hukuman sebat bagi kesalahan melibatkan akidah dan kesusilaan. Umumnya, dari sudut kategori kesalahan adalah hampir sama iaitu kesalahan yang berhubung dengan akidah, kesucian agama dan institusinya, kesusilaan, kesalahan pelbagai dan lain-lain. Walau bagaimanapun, dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang jenayah masih memerlukan kepada penelitian yang menyeluruh terutama dari segi hukuman yang diperuntukkan. menggambarkan ketidakselarasan penggubalan undang-undang bagi kesalahan jenayah Syariah antara negeri-negeri. (46)


Manakala penggubalan undang-undang berkaitan lain misalnya undang acara mal Syariah dan acara jenayah Syariah, umumnya hampir seragam kecuali dari aspek pentadbiran lain misalnya undang-undang pentadbiran Mahkamah Syariah dimana dari aspek takat bidangkuasa mal Mahkamah Syariah (Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah) ada yang tidak selaras di antara satu negeri dengan negeri yang lain. (47)


Secara umum dapatlah dibuat penelitian awal dalam perbincangan mengenai pelaksanaan undang-undang Islam iaitu masih banyak lagi halangan-halangan yang perlu ditangani terutama dari sudut mekanisme pentadbiran undang-undang tersebut misalnya pelantikan hakim-hakim, bidang kuasa mahkamah yang terhad, tiada panduan penjelasan kepada peruntukan undang-undang yang umum, prosedur yang tidak lengkap, pertindihan dengan undang-undang lain, pelaksanaan perintah, tafsiran peruntukan yang berbeza, masalah penyelarasan dan kerjasama negeri atau pihak berkuasa dan lain-lain. (48)


4.KESIMPULAN


Secara umum, dapatlah disimpulkan bahawa negara ini telah melaksanakan sebahagian undang-undang Islam. Dengan aspek tertentu, negeri-negeri dalam Persekutuan telah melaksanakan undang-undang-undang Islam. Undang-undang Islam yang ditadbir terus berkembang berbanding sebelum negara mencapai kemerdekaan. Banyak pembaharuan telah dilakukan oleh pihak berkuasa agama sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat kerajaan-kerajaan negeri selaras dengan perkembangan masyarakat Islam di negara ini. Dari semasa ke semasa beberapa pindaan dibuat oleh Badan Perundangan Negeri masing-masing selaras dengan kepentingan dan untuk kebaikan masyarakat sejauh yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha untuk menyelaraskan pentadbiran undang-undang Islam di negeri-negeri sedang dan terus dijalankan. Sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan harus mengambilkira kehendak Perkara 38 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan untuk dilaksanakan oleh negeri-negeri masing-masing.

Categories: