Saya agak keliru kerana ada sesetengah guru agama menyatakan sebahagian program Hari Raya itu hanya adat dan budaya semata-mata. Bolehkah tuan beri sedikit penjelasan berhubung adat dan ibadat pada Hari Raya dari perspektif Islam. Terima kasih atas penjelasan tuan. - MUSLIM, Hulu Langat, Selangor.
JAWAPAN: Sebelum menjawab soalan saudara, terlebih dahulu saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca dan peminat setia ruangan 1,001 Kemusykilan ini. Semoga kita diberi Allah kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan. Bagi menjawab soalan tentang penghayatan Hari Raya antara adat dan ibadat, izinkan saya menjelaskan terlebih dahulu erti adat dan ibadat serta perbezaan antara kedua-duanya dari perspektif Islam.
Kamus Dewan 1984 mentakrifkan adat sebagai peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat, sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Ibadat pula ditakrifkan sebagai bakti seseorang manusia kepada Tuhan. Takrif ini seolah-olah menyatakan, sumber ibadat ialah Ilahi (Tuhan) sedangkan sumber adat pula ialah wirathi (turun-temurun).
Memang setiap ibadat hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan hadis untuk mendapatkan pengesahan daripadanya terlebih dahulu. Manusia - walau betapa cemerlang tahap akademiknya dan mempunyai kemampuan ijtihad yang luar biasa - tidak berhak sama sekali beribadat dalam Islam hanya secara ikut dan patuh.
Adat adalah ciptaan manusia yang diwarisi turun- temurun. Sesuatu bangsa mempunyai adat dan budayanya sendiri, kadangkala adat menjadi kepercayaan yang sukar dikikis, sekalipun telah melalui zaman yang begitu lama. Tidak hairan jika pepatah ada mengatakan, biar mati anak jangan mati adat. Orang Arab jahiliah pula ada mengatakan, tanam anak perempuan hidup-hidup antara adat yang sangat dimuliakan.
Merujuk kepada penghayatan Hari Raya dalam masyarakat Islam seperti di Malaysia, kita tidak menafikan ada unsur-unsur yang berupa ibadat dan ada yang berupa adat. Kita disuruh melakukan sebanyak mungkin ibadat, terutama pada pagi Hari Raya puasa, seperti memperbanyakkan takbir, berhubung silaturahim, menikmati sedikit makan minum pada awal pagi sebelum ke masjid, bersuka ria dan sebagainya.
Di samping itu, ada adat yang kita tidak dilarang melakukannya kerana tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam seperti memakai pakaian baru, membakar lemang, memasak ketupat dan menyediakan pelbagai kuih-muih dan juadah istimewa. Ada juga tradisi yang tidak digalakkan dalam Islam seperti membakar mercun yang dibimbangi memudaratkan nyawa dan harta benda. Memasang pelita di keliling rumah bercanggah dalam Islam jika ada kepercayaan supaya malaikat datang membawa rahmat kepada tuan punya rumah. Padahal perbuatan memasang pelita sekeliling rumah itu lebih menyerupai Majusi.
Antara adat yang disunatkan ialah bertakbir sama ada bersendirian atau beramai-ramai di masjid atau di rumah. Jika Hari Raya Aidilfitri, waktu takbir bermula daripada terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan hingga selesai solat raya. Hari Raya Aidiladha pula disunatkan bertakbir pada petang hari Arafah atau 9 Zulhijah dan pada hari-hari Tasyriq, iaitu hari 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah. Adapun takbir dari rumah ke rumah pada malam raya, kemungkinan amalan itu hanya adat setempat. Baik buruknya dilihat pada bagaimana dan apa tujuan takbir bergerak dari rumah ke rumah itu dikerjakan.
Saya berpendapat, takbir dari rumah ke rumah ini tidak perlu dikekalkan. Selain ia hanya adat, ia memerlukan masa yang begitu lama untuk bergerak dari rumah ke rumah. Bukankah masjid atau surau merupakan tempat ibadat yang boleh disertai oleh semua orang. Saya percaya takbir dari rumah ke rumah adalah adat yang tiada kena-mengena dengan agama kita.
Pada prinsipnya, takbir Hari Raya dituntut adalah kerana ia menunjukkan kemenangan. Kita telah menang dalam perjuangan menentang nafsu makan dan minum selama satu bulan, mengunci nafsu seks pada siang hari, mengawal nafsu yang sukakan hiburan yang tidak berfaedah dan sebagainya.
Demikian juga dengan Hari Raya Haji, kita bertakbir kerana menang dalam melaksanakan ibadat haji. Kalaupun tidak kita sendiri yang mengerjakannya, mungkin ada saudara-mara kita yang menang dalam menunaikan fardu itu. Kita menumpang gembira atas kemenangan mereka. Justeru, kita bertakbir Allahu Akbar sebanyak mungkin pada hari-hari tertentu.
Jika takbir menandakan pencapaian kemenangan dalam perjuangan kita, saya kira ucapan takbir perlu dibacakan dengan penuh semangat dan dengan suara yang agak tinggi, sesuai dengan kemenangan yang kita capai. Sebagaimana kita nyanyikan lagu-lagu patriotik pada hari kebangsaan atau ulang tahun kemerdekaan.
Saya fikir takbir raya seperti yang selalu kita baca beramai-ramai di masjid pada pagi Hari Raya itu kurang sesuai kerana ia dibaca dengan nada suara yang sayu, penuh kesedihan dan kekhusyukan, kadang-kala air mata menitis dengan tidak disedari. Mungkin nadanya sesuai dengan hari-hari kematian.
Ada beberapa tempat kita disuruh bertakbir, semuanya menunjukkan kemenangan dan pernyataan semangat. Takbir itu diucapkan dengan nada yang lebih agresif dan berani. Misalnya, ketika menyembelih haiwan korban tatkala pisau mengena leher haiwan bagi menyatakan secara simbolik bahawa sembelihan itu bukan kerana memuja syaitan yang memang sukakan dirinya dipuja dengan darah, tetapi korban kerana Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.
Ketika memulakan solat kita bertakbir sebagai menyatakan bahawa syaitan tiada tempat dalam ibadat ini. Syaitan tidak dipuja tetapi dihina. Allahu Akbar, dengannya kita mulakan solat dan setiap gerak-geri kita di dalam solat, sentiasa berulang perkataan ini. Syaitan memang terasa hina apabila perkataan ini disebutkan, sesuai dengan peringatan al-Quran dalam surah Yusuf, ayat 5 yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan adalah musuh ketat kepada manusia.
Ketika menyeru orang supaya mendirikan solat lima waktu dan ketika menyambut kedatangan bayi baru lahir dan juga ketika berlaku kebakaran, kita disuruh bertakbir seperti lafaz azan, dengan suara yang jelas dan terang. Tujuannya ialah supaya syaitan jin dan syaitan manusia tahu bahawa Allah Maha Besar. Selain Allah, semua yang lain adalah kecil dan akan binasa juga akhirnya.
Saya kurang pasti dari mana takbir dari rumah ke rumah seperti yang saudara sebutkan itu. Pada anggapan saya, takbir itu hanya rekaan yang tidak berasas kepada mana-mana hadis yang sahih. Bagaimanapun, ia telah menjadi adat yang begitu kukuh tertanam dalam masyarakat kita sehingga sukar dihapuskan.
Program ziarah sanak-saudara, kenalan rapat dan keluarga pada Hari Raya sangat baik dan digalakkan. Malah dalam hadis-hadis sahih dikatakan amalan ini membawa keberkatan dalam hidup dan memanjangkan umur. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan lain-lain, rasulullah s.a.w. menyatakan: Sesiapa mahukan rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungi rahimnya.
Suatu fenomena yang kurang disenangi ialah amalan ziarah berpilih. Kawan-kawan ternama dan berpangkat diletakkan dalam senarai utama, sedangkan kenalan yang rendah dan tidak berpangkat langsung terabai. Amalan ini sangat tidak disukai Islam yang mahu umatnya hidup sama rata dan sama rasa. Islam menuntut kita hidup berkenal-kenalan antara satu sama lain.
Fenomena mengadakan rumah terbuka juga antara program Hari Raya yang selalu dihayati oleh warga kota dan golongan yang berada. Sepatutnya rumah terbuka tidak akan mengehadkan kepada orang tertentu yang diistilahkan dengan panggilan VIP sahaja, manakala orang biasa, sekalipun tinggal di sebelah rumah tetap juga terpinggir, kerana rumah terbuka tidak terbuka kepada mereka.
Hari Raya adalah hari bersuka ria. Nabi s.a.w. mengharuskan beberapa jenis hiburan dimainkan seperti nyanyian yang tidak disertai muzik Barat, pantun dan jenis-jenis permainan ringan. Sebuah hadis menyatakan, ketika Abu Bakar kebetulan masuk ke rumah puterinya Aisyah yang juga isteri Nabi s.a.w. kelihatan seorang penyanyi wanita sedang menyanyi. Penyanyi itu mungkin untuk menghibur Aisyah lalu disergah Abu Bakar, kerana menurutnya, nyanyian tidak sesuai dengan seorang isteri nabi dan dinyanyikan dalam rumahnya. Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan nabi, baginda menasihati Abu Bakar supaya membiarkan sahaja nyanyian diperdengarkan kerana hari itu adalah Hari Raya.
Sehubungan itu saya agak kurang setuju dengan adat ziarah kubur pada Hari Raya seperti yang saudara sebutkan sekalipun ia menjadi amalan ramai masyarakat Islam, terutama di Malaysia. Hari Raya adalah hari kita bergembira dan bersuka ria. Kubur sebenarnya bukan tempat bergembira, tetapi tempat mengingati mati, malah matlamat ziarah kubur itu sendiri hendaklah bertujuan mendapatkan pengajaran yang melembutkan hati dengan mengingati akhirat.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah menyatakan: Baginda Rasulullah s.a.w. menziarahi kubur ibunya, lalu menangis dan sahabat-sahabat turut menangis. Baginda memberitahu mereka: Aku memohon izin kepada Tuhanku untuk beristighfar kepada ibuku, tetapi tidak diizinkan. Aku hanya diizin menziarahi kuburnya sahaja. Ziarahlah kubur, kerana ia mengingatkan mati.
Ulama menjelaskan, tiada waktu yang tertentu bagi ziarah kubur. Ia boleh diziarahi pada bila-bila masa sahaja. Sesetengah ulama memilih hari-hari Khamis dan Jumaat sebagai afdal bagi tujuan ziarah, kerana pada hari ini dikatakan hubungan roh dengan jasad orang mati, lebih dekat dan erat. Justeru tiada masa tertentu bagi ziarah, kubur, maka tidak dilarang menziarahinya pada Hari Raya. Tetapi hendaknya ziarah kubur itu tidak mengeruhkan suasana gembira dan menyebabkan riang Hari Raya menjadi dukacita.
Categories:
Hukum