Latest Stories


Undang-undang Islam di Malaysia picture
Hukum / Undang-undang Islam telah pun dijalankan di Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah dahulu. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka pada tahun 812 hijrah (1409 Masihi). Ini menjadikan Melaka sebagai kesultanan Melayu Islam pertama di tanah air ini.

Parameswara telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Baginda diIslam kan oleh seorang pendakwah dari Jeddah yang bernama Sayyid Abd Aziz.

Ketahuilah bahawa, Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadikan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang negara. Dan usaha untuk mengkanunkan undang-undang ini telah dimulakan sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422 - 1444) dan dilengkapkan di dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1450). Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.

Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin  bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut;

"Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma'ruf wa nahi munkar"

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dariMuzium British, mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang , mengandungi 44 fasal, setelah diteliti dan dikaji, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.  

Walaupun tidak dinafikan bahawa di dalamnya terdapat juga unsur-unsur Undang-undang Adat Melayu, namun demikian ianya tidaklah menjejaskan sifat keIslamannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya adalah menyeluruh dan luas, ianya mencakupi keseluruhan undang-undang Islam.

Pada mulanya undang-undang adat telah diikuti, akan tetapi apabila orang Melayu mula menganuti agama Islam, maka undang-undang Islam telah diterima dan adat Melayu mula diubah-suaikan supaya tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.


Undang-undang Islam dan adat

Sungguh pun adat tidak menjadi suatu sumber undang-undang Islam, akan tetapi Islam membolehkan adat diterima dan diikuti oleh penganut-penganut agama Islam, selagi adat itu tidak bercanggah dengan undang-undang Islam itu sendiri.

Mana-mana adat yang dianggap baik, bermanfaat dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam boleh diterima dan dijadikan amalan oleh orang-orang Islam. Dengan cara ini, adat dapat diserapkan ke dalam undang-undang Islam.

Cara menyelesaikan perselisihan yang timbul antara undang-undang Islam dan undang-undang adat telah dijelas kan oleh As Suyuti dalam kitabnya Al Asybah wan nazho-ir. Kaedah-kaedah yang disebutkan oleh As Suyuti adalah;

1 - Adat hanya dikira jika didapati ianya diamalkan berterusan. 

2 - Jika terjadi perselisihan antara adat dan pendapat agama Islam, maka adat boleh diikuti, jika tidak terdapat hukum di dalam Syariah yang jelas.

Misalnya jika si A bersumpah bahawa dia tidak mahu makan daging, dia tidak dianggap melanggar sumpahnya jika dia makan ikan, sungguhpun ikan dinamakan daging di dalam AlQuran (16:14).

3 - Jika terdapat perselisihan antara adat dan hukum syara' yang jelas dan tepat, maka hukum syara' mestilah diikuti.

Misalnya, jika Y bersumpah bahawa dia tidak akan berkahwin, dia akan melanggar sumpah itu hanya apabila dia mengadakan akad nikah dan tidak dengan persetubuhan sahaja.

4 - Adat boleh diamalkan jika terdapat syarat-syarat Hukum Syara' itu dalam bentuk am sahaja dan tidak dijelaskan dengan tepat.

5 - Mengenai adat pula, jika ada pertelingkahan antara adat am dan adat khas, maka adat khas itu hanya sah jika ia tidak tersekat amalannya. Umpamanya, jika ianya diamalkan oleh seorang sahaja dan bukan oleh sesuatu puak.


Proses penyesuaian agama dan adat telah diganggu dan terbantut oleh pengaruh kerajaan British (satu cabang dari Illuminati). Seperti yang disebutkan oleh R.J Wilkinsondalam bukunya, "Tidak syak lagi undang-undang Islam pada akhirnya akan menjadi undang-undang negeri Melayu jika undang-undang Inggeris tidak menghalangnya."

"There can be no doubt that Muslim Law would have ended by becoming the law of Malaya had not British law stepped in to check it"

Categories: