Latest Stories


PENGENALAN

Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, undang-undang Islam telah pun diterima dalam istiadat atau adat masyarakat tempatan. Kedua-dua bentuk adat yang utama ialah Adat Temunggung dan Adat Perpatih. Oleh kerana itu, boleh disimpulkan bahawa undang-undang yang dilaksanakan ketika itu ialah undang-undang Islam yang telah diubahsuai oleh adat Melayu. Walaubagaimanapun, pentafsiran tersebut mungkin boleh dipertikaikan kerana pentafsiran tersebut merupakan daripada pemikiran para sarjana Barat seperti Hooker dan lain-lain. Persoalannya kini, adakah undang-undang ketika itu merupakan hasil undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat Melayu atau ianya merupakan undang-undang yang dipengaruhi oleh adat Melayu tetapi telah diubahsuai dan dipengaruhi oleh undang-undang Islam? Perlu diingat bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang yang khusus dicipta Allah tanpa boleh dipengaruhi oleh mana-mana unsur yang bertentangan dengannya samaada daripada adat Melayu dan sebagainya.

Penulisan ini akan meninjau dengan lebih khusus tentang pemakaian undang-undang Islam sebelum penjajahan dan perubahan yang berlaku selepas era kemerdekaan. Tidak dapat dinafikan bahawa telah wujud pemakaian undang-undang Islam dalam Undang-undang Melaka, Terengganu, Johor dan Perak sebelum penjajahan British yang membuktikan cara hidup Islam telahpun diamalkan oleh masyarakat ketika itu.


PERUNDANGAN ISLAM DI MALAYSIA : ERA KESULTANAN MELAYU

Adapun Islam mula bertapak di rantau nusantara kira-kira pada abad 13 dan di Melaka lewat satu kurun kemudian. Di zaman pemerintahan Melaka, suatu undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka,telah diperkenalkan dan diterima pakai sebagai undang-undang Islam. Walaupun ia banyak merujuk kepada undang-undang adat dan bukannya semuanya Islam,namun ia sudah cukup untuk membuktikan undang-undang Islam berada di tahap tertinggi ketika itu.

Sebenarnya Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka merupakan hasil rujukan daripada teks Abu Shuja’ at-Tariq danFath al-Qarib oleh Ibn Qasin al-Ghazzi. Malah undang-undang ini juga dikatakan mengandungi perundangan Islam dan ianya terdiri daripada Undang-undang Melaka Asal, Undang-undang Laut, Undang-undang Keluarga dan Undang-undang Jual Beli. Di Perak, terdapat Undang-undang 99 Perak. Bagi negeri Terengganu, undang-undang Islam telah ditadbir dengan berkesan di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin II. Bagi negeri Johor, Majallah Al-Ahkam dari Turki telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan dipakai di Johor. Malah pada akhir abad ke 19,Perlembagaan Johor melalui Artikel 2 menyatakan dengan jelas bahawa raja yang terpilih hendaklah bangsa Melayu berdarah raja,laki-laki dan beragama Islam.Malah agama Islam diiktiraf sebagai agama rasmi bagi Johor.

Boleh dinukilkan di sini bahawa sebelum penjajahan Inggeris, kuasa Sultan atau Raja adalah meliputi semua perkara termasuklah adat istiadat Melayu dan persoalan agama Islam. Didapati bahawa sebahagian kuasa pentadbiran ketika itu ditentukan melalui autoriti Sultan sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam di negeri masing-masing begitu juga dengan kuasa eksekutif juga ditangan mereka.

Melihat kepada bukti-bukti sejarah,memang menjadi kenyataan bahawa undang-undang Islam merupakan undang-undang utama di Tanah Melayu. Ini dapat dibuktikan dalam satu kes iaitu Sheikh Abdul Latif & Others lwn Shaikh Elias Bux, mahkamah memutuskan undang-undang yang terpakai kepada orang Islam pada masa itu adalah undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat tempatan. Dalam satu kes terpenting, Ramah lawn Laton, mahkamah semasa penjajahan Inggeris menerima hakikat bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang tempatan Tanah Melayu, malah undang-undang Islam mestilah diberi pengiktirafan oleh mahkamah. Walaubagaimanapun, pada pandangan penulis, skop undang-undang Islam yang dimaksudkan hasil dari penghakiman tersebut bukannya meliputi keseluruhan undang-undang Islam tetapi hanya meliputi persoalan tertentu sahaja melibatkan undang-undang diri dan prosedural sahaja.

Sejarah juga telah membuktikan Perjanjian Pangkor 1874 menjadi titik bermulanya penasihat British di Tanah Melayu secara rasmi. Pengaruh undang-undang Inggeris mula menular selepas pihak Inggeris memperkenalkan sistem penasihat British atau Residen melalui perjanjian dengan Sultan atau Raja di negeri Tanah Melayu. Penasihat Inggeris telah campur tangan dalam semua urusan pentadbiran kecuali dalam urusan agama Islam dan adat Melayu.Ini menyebabkan skop undang-undang Islam disempitkan sehingga agama Islam hanya diterima pakai dan tertumpu dalam hal-hal berkaitan kekeluargaan yang melibatkan persoalan prosedur dan pentadbiran sahaja.

KEMASUKAN PERUNDANGAN INGGERIS

Pada pandangan penulis, kemasukan undang-undang Inggeris ke Tanah Melayu berdasarkan kepada 3 cara utama. Pertama melalui statut Inggeris yang diperkenalkan di Tanah Melayu. Diantara undang-undang yang diterima pakai ialah Kanun Jenayah(Penal Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam yang berkaitan dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya. Kes yang berkaitan dengan masalah ini ialah seperti dalam kes PP lwn White. White asalnya adalah Kristian dan dia telah berkahwin dengan seorang perempuan Kristian.Kemudian semasa isterinya masih hidup,dia telah berkahwin dengan seorang Islam dan dia turut menganut Islam.Dia telah dituduh melakukan kesalahan bigami di bawah Kanun Keseksaan kerana dikatakan White masih terikat dengan syarat monogami perkahwinan yang pertama. Jika ditinjau berdasarkan kes ini, jelas menunjukkan undang-undang Islam telah diketepikan. Undang-undang Islam tidak melarang poligami tetapi mahkamah mengikut peruntukan berdasarkan Kanun Keseksaan walaupun White telah memeluk Islam ketika itu.

KONSEP DULUAN MENGIKAT

Cara kedua ialah melalui keputusan hakim atau secara lebih tepat melalui konsep duluan mengikat. Umum mengetahui bahawa dalam amalan Common Law, keputusan mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah bawahan dan keputusan sebelum mengikat keputusan mahkamah selepasnya.Namun apa yang hendak dibincangkan,hakim yang mendengar kes di Mahkamah Sivil berkelulusan England dan lazimnya akan merujuk kepada perundangan Inggeris sekiranya wujudnya masalah yang tidak boleh diselesaikan mengikut undang-undang bertulis.Pada satu ketika,usaha telah dibuat untuk meringankan bebanan hakim-hakim Mahkamah Sivil itu dengan diadakan undang-undang,Enakmen Penentuan Undnag-undang Islam 1930,yang membolehkan hakim-hakim Mahkamah Sivil merujuk soalan tentang undnag-undang Islam ke Majlis Kerajaan Negeri untuk pendapatnya dan kemudian memutuskan kes itu menurut pendapat itu. Akan tetapi Enakmen itu telah dimansuhkan apabila undang-undang pentadbiran undnag-undang Islam diadakan di negeri-negeri Melayu.

PENGENALAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG SIVIL 1937, 1951 DAN ORDINAN UNDANG-UNDANG SIVIL 1956

Disamping itu, penggunaan undang-undang Inggeris menjadi rujukan utama setelah adanya Enakmen Undang-undang Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang Sivil 1956. Mengikut undang-undang Sivil, mahkamah di Tanah Melayu seharusnya menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang terpakai di England pada 7 April 1956 dan juga Common Law di England. Ordinan Undang-undang Sivil 1956 juga dipanjangkan pemakaiannya ke Sabah dan Sarawak pada tahun 1971. Dalam hal ini, seseorang hakim akan merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 untuk negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak.Penguatkuasaan itu menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang Inggeris.

Enakmen tersebut secara jelas telah menyekat dan menyempitkan pemakaian hukum syarak serta bidang kuasa Mahkamah Syariah (Mahkamah Kadi ketika itu).Sebagai contoh dalam kes Myriam lwn Ariff. Dalam kes tersebut, seorang ibu telah menuntut hak jagaan anak lelaki yang berumur 3 tahun dan anak perempuan 8 tahun.Apabila perceraian berlaku, Mahkamah Syariah telah putuskan untuk memberi hak penjagaan kepada bapanya.Kemudian,ibu telah berkahwin dengan lelaki lain dan dia memohon hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi.Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendenagar kes tersebut.Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa di bawah undang-undang Sivil dan undnag-undang Islam, pertimbangan utama hendaklah diberi kepada kebajikan kanak-kanak itu dan dalam kes itu, Mahkamah Tinggi telah memberi hak penjagaan anak lelaki kepada ibunya dan anak perempuan kepada bapanya. Ini bertentangan dengan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agma Islam(ketika itu) yang menghalang hak penjagaan anak kepada ibunya sekiranya ibu tersebut telah berkahwin dengan lelaki lain.sayangnya di dalam kes ini,hakim telah mengatakan beliau tidak semestinya mengikut dengan tepat apa yang diperuntukkan di dalam agama Islam.

Hal yang sama juga berlaku dalam kes Ainan lwn Syed Abu Bakar apabila soal kesahtarafan seorang anak yang dilahirkan empat bulan selepas perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki ditimbulkan di Mahkamah Tinggi di Perak, rujukan telah dibuat oleh mahkamah itu kepada Seksyen 112 Enakmen Keterangan yang dikatakan dikenakan juga kepada orang-orang Islam.Oleh itu, undang-undang Islam tidak boleh dipakai. Walaubagaimanapun,terdapat juga kes yang mempunyai “double provision” ataudualisme iaitu yang mempunyai peruntukkan yang sama atau bertindan samaada di Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Harta pencarian sebagai contoh ialah perkara yang dulunya boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil dan di Mahkamah Syariah. Di Mahkamah Sivil, perkara harta sepencarian dianggap sebagai soal adat Melayu dan bukannya soal undang-undang Islam seperti yang disebutkan di dalam kes Roberts lwn Umi KalthomMohamad lwn Commissioner of Lands dan Boto lwn Jaafar. Sebaliknya apabila Mahkamah Syariah memutuskan kes tuntutan harta sepencarian,ia merujuk kepada persoalan undang-undang Islam.

Walaubagaimanapun, pada masa sekarang, nampaknya tuntutan harta sepencarian hanya boleh dibawa di Mahkamah Syariah oleh kerana pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah dibawahnya tidak mempunyai bidangkuasa dalam mana-mana perkara yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini kerana Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri telah memberi bidang kuasa khusus kepada Negeri melalui Mahkamah Syariah bagi mendengar segala kes berkaitan harta sepencarian. Malah peruntukkan ini juga termaktub dalam Enakmen Keluarga Islam di setiap negeri yang memperuntukkan seksyen khusus tentang pembahagian harta sepencarian.

SISTEM MAJLIS NEGERI – PENGENALAN UNDANG_UNDANG DIRI

Selain itu, cara ketiga kemasukan perundangan Inggeris di Tanah Melayu ialah dengan penubuhan sistem Majlis Negeri oleh pihak Inggeris yang berperanan untuk membuat statut-statut bertulis dan bertindak sebagai satu badan eksekutif. Malah pemakaian Common Law dan Ekuiti melalui enakmen Undang-undang Sivil seperti yang telah dibincangkan sebelum ini telah mengukuhkan undang-undang Sivil dan menyempitkan lagi tafsiran undang-undang Islam yang sebenar. Pada pandangan penulis, penyempitan itu dikukuhkan lagi dengan pengenalan undang-undang khusus yang mentadbir hal ehwal orang Islam dalam perkara-perkara yang terhad.

Kesemua undang-undang ini diluluskan melalui Majlis Negeri yang mereka asaskan dan mereka menjadi penasihatnya. Sebagai contoh, pihak Inggeris lebih menumpukan kepada undang-undang diri yang diperkenalkan dan terbahagi kepada tiga undang-undang yang paling utama iaitu undang-undang keluarga,harta dan kesalahan terhadap agama. Pertama, kandungan undang-undang keluarga meliputi perkara yang berkaitan dengan pertunangan dan mungkir janji pertunangan, mahar, soal wali, perceraian misalnya talak biasa, khulu’ dan fasakh. Sementara undang-undang berkaitan dengan harta pula hanya tertumpu kepada soal harta pusaka, wasiat dan harta wakaf orang-orang Islam yang banyak berkaitan dengan undang-undang bertulis lain dan bukanya perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam. Kemudian bagi perkara yang berkaitan dengan kesalahan terhadap agama seperti kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan dan perceraian,mengakadnikah tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang,kesalahan yang berkaitan dengan moral seperti berzina, berkhalwat, meminum arak serta hal-hal yang berkaitan dengan akidah misalnya tidak bersolat Jumaat, tidak membayar zakat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan sebagainya.

PENGASINGAN URUSAN AGAMA DAN ADAT ISTIADAT MELAYU

Seperti mana diketahui, pihak Inggeris telah mengasingkan bidang kuasa dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu kepada Sultan atau Raja sesebuah negeri.Walaubagaimanapun, sebagai pihak eksekutif, mereka beranggapan perlu diwujudkan satu pentadbiran yang tersusun melalui pengenalan sistem perundangan menerusi Majlis Negeri yang bertindak sebagai badan pemutus dan pengesah sesuatu statut bertulis. Penubuhan Majlis Negeri ini telah dibincanagkan oleh penulis sebelum ini. Namun apa yang ingin ditumpukan penulis ialah walaupun bidang kuasa agama dan adat istiadat Melayu telah diasingkan, tetapi Inggeris masih melaksanakan perundangan yang meliputi soal agama Islam seperti pengenalan enakmen Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Orang Islam.

Begitu juga pentadbiran Mahkamah Kadhi melalui Enakmen Mahkamah Syariah. Mereka beranggapan bahawa mereka tidak mencampuri urusan agama tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa eksekutif yang mutlak,maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan awam tanpa mengira agama. Sebab itu, pihak Inggeris berjaya memperkenalkan undang-undang pentadbiran bagi tujuan penyelarasan semua undang-undang yang diperkenalkan. Bidang kuasa agama Islam yang diberi kepada Sultan oleh Inggeris pada pandangan penulis hanyalah meliputi soal hukum syarak sahaja dan tidak meliputi soal pentadbiran agama Islam secara keseluruhannya.Perlu diingat bahawa pihak Inggeris hanya berbidang kuasa dalam aspek pentadbiran dan prosedural undang-undnag Islam sahaja tanpa campur tangan dalam persoalan asas hukum syarak yang sebenar.


KESAN DAN IMPLIKASI HINGGA KINI

Kesimpulan kesan daripada pengaruh Inggeris dalam pentadbiran hal ehwal Islam ini dan juga daripada kes-kes yang diputuskan yang melibatkan soal adat Melayu dan hukum syarak telah mempengaruhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang digubal kemudiannya dan juga memberi kesan kepada perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini. Pada pandangan penulis juga, kebanyakan penghakiman dibuat hanya mengambil kira aspek prosedur dan keterangan yang jika dipenuhi maka barulah ia mengambil kira hukum syarak atau perundangan Islam. Boleh juga diambil kira bahawa kebanyakan kes di Mahkamah Sivil yang ditafsirkan melibatkan undang-undang Islam ialah merupakan persoalan undang-undang diri yang melibatkan orang-orang Islam dan bukannya melibatkan undang-undang jenayah awam. Apa yang boleh dikatakan ialah kesalahan-kesalahan tersebut hanya ditafsirkan sebagai kesalahan agama atau kesalahan melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran agama.

Mungkin kerana itu, meskipun dalam sejarah penghakiman Inggeris di Tanah Melayu ada dicatatkan bahawa undang-undang Inggeris bukan merupakan undang-undang asing tetapi sebagai undang-undang negeri,sebenarnya ia hanyalah merujuk kepada undang-undang diri sahaja. Dan mungkin juga kerana semua pengalaman ini sejak zaman penjajahan British,pembentukkan Perlembagaan Persekutuan di bawah Suruhanjaya Reid telah memikirkan bentuk dan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya membentuk Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri yang memberi kuasa mutlak kepada negeri untuk menyusun pentadbiran agama Islam dan bukannya kepada persekutuan. Malah hingga kini, kebanyakan peruntukan tentang agama Islam juga hanya mengkhususukan kepada undang-undang diri sahaja.

Categories: