Latest Stories

Pendirian Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berdiri di atas paksi yang benar, mereka sentiasa bertindak menyeru/mengajak sekalian umat supaya saling mencintai para saudara seagama-nya, tidak dipertikai siapa dan apa kedudukannya. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan saudara-saudaranya seagama, senegara dan para pemimpinnya. Menasihati para pemimpin jika didapati silap, kerana kebaikan pemimpin memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ ، قَلْنَا لِمَنْ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : للهِ ، وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ ، وَِلاَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ.


“Agama itu adalah nasihat, kami berkata: Bagi siapa wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin, kaum muslimin dan orang-orang awam”. (Hadis Riwayat Muslim, beliau menyendiri dalam lafaz hadis ini. Hadis dari Tamim ad-Dari)

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa menasihati pemimpin itu amat dituntut, namun bagi mereka yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah wal-jama’ah adalah sebaliknya, mereka lebih gemar bersifat dan berciri penderhaka kepada negara. Berkomplot untuk menumbangkan kerajaan Islam. Mengikis rasa cinta dan persaudaraan seagama. Mengkafirkan saudara-saudaranya yang seagama dan kerajaannya jika mereka tidak mengikut ideologi alirannya/kelompoknya/kumpulannya. Dan mereka sentiasa berusaha dengan pelbagai cara supaya rakyat membenci pemimpin Islam.

Kebanyakan kelompok-kelompok yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah dalam urusan mentaati pemerintah ini gemar menggunakan topeng ibadah untuk mempengaruhi hati rakyat, bersolat hajat dan berdoa beramai-ramai agar ditimpakan kecelakaan, kehancuran, kemusnahan atau kejatuhan ke atas pemerintah Islam dengan beralasan bahawa pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah, kafir, zalim, fasik dan sebagainya.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menceritakan tentang sikap manusia seperti ini, lalu mengancam mereka dengan ancaman yang menakutkan:

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا قَالَ الرَّجُلُ : هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ اَهْلَكَهُمْ.


"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Apabila seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang akan binasa". (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Al-Barbahari berkata:

"Jika kamu mendengar seseorang suka mendoakan kecelakaan terhadap penguasa (pemimpin), maka ketahuilah bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu (pembuat/aktivis bid'ah)". (Lihat; Al-Ibanah. Jld. 2. Hlm. 116. No.136)

سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ سُلْطَانٌ فَاَعِزُّوْهُ مَنِ الْتَمَسَ ذِلَّهُ شَغَرَ شَغَرَةً فِى اْلاِسْلاَمِ وَلَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يُعِيْدُهَا كَمَا كَانَتْ .


"Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan barangsiapa mencari-cari kehinaannya (kesalahannya dan keaibannya) bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sampailah dia (mengembalikan keadaan sebagaimana sediakala)". (Lihat: As-Sunnah (2/513). Dari Ibn Abi 'Asim. Sanad hadis ini sahih)

Berkata Imam As-Syaukani Rahimahullah:

"Sebaiknya bagi orang yang menyedari kesalahan pemerintah (penguasa yang beragama Islam) dalam beberapa permasalahan untuk menasihatinya dengan tidak menyebarkan maki hamun kepadanya di khalayak umum". (Lihat: السيل الجرار Jld. 4. Hlm. 556)

Ibn Qayyim menjelaskan bagaimana sewajarnya sikap para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dan orang-orang awam yang beriman terhadap para pemimpin yang masih beragama Islam:

Apabila mengikuti (mentaati) hadis Nabi (tentang negara atau pemerintah yang beragama Islam): Semestinya menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin, hadis ini (yang memerintahkan agar mendekati dan menasihati pemimpin Islam) mengandungi maksud agar menghilangkan sifat iri hati dan dengki, kerana nasihat tidak mungkin bersatu dengan kedengkian, sebaliknya ia melawan rasa kedengkian. Oleh kerana itu sesiapa yang menegakkan nasihat kepada para pemimpin Islam dan rakyat biasa, bermakna dia telah terlepas dari sifat dengki". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Seterusnya Ibn Qayyim rahimahullah berkata lagi:

“Hal ini jauh berbeza dengan keadaan orang yang suka menentang pemerintah dan menghabiskan masanya dengan memaki-hamun (mencela, mencerca dan memburuk-burukkan para pemimpin Islam, pent.). Mereka suka mengaibkan dan menghina, maka ini samalah dengan tindakan kaum-kaum Rafidah, Khawarij, Muktazilah dan golongan yang seumpama mereka, kerana hati mereka sudah dipenuhi rasa iri hati dan kedengkian". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Menurut Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab:

"Sesungguhnya termasuk dalam kesepakatan ulama (kaum muslimin) agar mendengar kemudian taat kepada siapa sahaja yang memerintah kita walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi (selagi ia beragama Islam. Pent)". (Lihat: اصول الستة Muhammad bin Abdul Wahab)

Berkata Imam Tahawi rahimahullah:

"Kita tidak pernah diizinkan untuk memberontak kepada imam-imam dan pemimpin negara kita (pemimpin muslim), sekalipun mereka zalim. Kita tidak boleh mendoakan mereka (supaya jatuh), tidak boleh menarik ketaatan kepada mereka kerana ketaatan kita kepada mereka termasuk ketaatan kepada Allah, hal ini adalah wajib selagi kita tidak dipaksa mentaati yang maksiat dan kita sewajarnya mendoakan mereka dengan kebaikan dan ampunan (bukan sebaliknya, pent.)".

Nas-nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa-fatwa para ulama Salaf as-Soleh yang tertera di atas, telah menjelaskan bahawa menentang, memfitnah, menghina dan berjuang untuk menjatuhkan pemerintahan Islam dan pemimpinnya, adalah perbuatan bid'ah dan haram.

Dalam sejarah, al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi terkenal dengan kezalimannya, bengis dan kejam dalam menumpahkan darah, menodai hal-hal yang diharamkan Allah, membunuh tokoh-tokoh utama umat Islam seperti Sa’id bin Zubir. Menghalalkan apa-apa yang haram. Mengepung Ibnu Zubir yang telah berlindung di Ka’abah dan kemudian membunuhnya walaupun Ibnu Zubir telah ditaati dan dibaiat oleh penduduk Mekkah, Madinah, Yaman dan sebahagian wilayah Iraq.

Al-Hajjaj adalah wakil Marwan, sekaligus wakil anaknya Abdul Malik. Tidak ada seorang khalifah pun yang menjanjikan Marwan (menjadi penguasa) dan tidak dibaiat oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Ibnu Umar dan ramai lagi para sahabat hidup dan mengharungi zaman kekuasaan al-Hajjaj, namun mereka tidak mencabut ketaatan kepada al-Hajjaj, mereka tidak melarang sesiapa untuk taat kepadanya dalam perkara-perkara yang boleh mempertahankan agama dan hak-hak rakyat.

Bani Abbasiyah ketika menguasai dan memerintah kaum Muslimin. Mereka terkenal keras, kejam dan ketajaman pedangnya. Banyak membunuh manusia dari berbagai-bagai kalangan, terutama dari kalangan pemimpin dan tokoh Bani Umaiyah. Antara yang dibunuh adalah Ibnu Hubairah penguasa Iraq dan juga Khalifah Marwan.

As-Saffah penguasa Bani Abbasiyah membunuh lapan puluh orang dari Bani Umayah dalam sehari. Walaupun sudah demikian parahnya, para imam kaum Muslimin seperti al-Auzaii, Malik, Al-Laits bin Sa’ad, Atha’ bin Abi Rabah dan yang lainnya tetap bersikap taat dan mendengar. Kebenaran seperti ini hanya dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu yang mendalam.

Adalah haram hukumnya bagi sesiapa yang berniat mahu menjatuhkan penguasa, para pemimpin yang berkuasa, pemerintah dan mereka yang memerintah, kerana menjatuhkan penguasa sama dengan merampas kekuasaan yang ada di tangan mereka yang pasti akan mengakibatkan perpecahan, perbalahan, huru-hara, kacau-bilau dan boleh menyebabkan kemusnahan kepada agama, harta benda, negara dan umat Islam.

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Lihat: Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Kewajipan para ulama ialah mendidik rakyat, menyebarkan segala kebaikan pemerintah, mengenang budi dan jasa di atas kebaikan dan pembangunan yang telah diusahakan, bersyukur kepada Allah, berterima kasih, menjauhkan rakyat dari menyebarkan keburukan pemerintah, para pemimpin dan ketua negara mereka kerana mereka beragama Islam.

Memburuk-burukkan kerajaan, penguasa atau pemimpin adalah perbuatan yan salah menurut manhaj ahlus sunnah wal-Jama’ah, malah bertentangan dengan etika, amalan, sikap dan prinsip ulama terdahulu. Memaki-hamun, kutuk-mengutuk, caci, sumpah-seranah, menabur fitnah, menyebar keburukan pemerintah dan menanam perasaan benci terhadap penguasa atau pemimpin Islam adalah perbuatan yang diharamkan oleh al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa para ulama terdahulu. Firman Allah:


اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ ءامَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ فِىالدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ وَاللهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لاَتَعْلَمُوْنَ .


"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". (an-Nur 24: 19)


وَلاَ تَسُبُّوْا اُمَرَاءَ كُمْ وَلاَتَغُشُّوْهُمْ وَلاَتَبْغِضُوْهُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ وَاصْبِرُوْا فِاِنَّ اْلاَمْرَ قَرِيْبٌ.


"Dan janganlah kamu maki (kutuk/maki-hamun) para pemimpin kamu, janganlah mengkhianati mereka dan janganlah menjadikan mereka marah. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah kerana urusan itu adalah dekat". (Lihat: As-Sunnah. 2/499. Ibn Abi 'Asim)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Ada lima perkara barangsiapa melaksanakan salah satu darinya di bawah jaminan Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Iaitu melawat orang yang sakit, berjihad di medan perang dan menemui penguasa (pemimpin) dengan niat untuk menghormati dan memuliakannya atau duduk di rumah (berdiam diri) sehingga orang aman darinya (sehingga aman manusia)”. (Lihat: As-Sunnah 2/490-492. Ibnu Abi ‘Asim. Ahmad dalam Musnad 5/241. Zilalul Jannah fi Takhrij as-Sunnah 2/490-491. Al-Albani. Ibnu Zanjawiyah dalam Al-Amwal 1/87)

Categories: