Latest Stories

Kebebasan adalah sebahagian daripada hak-hak manusia yang bersifat asasi.   Semua agama, tradisi, negara, tamadun dan perlembagaan mengiktiraf kenyataan ini.  Di Malaysia sebahagian daripada hak-hak tersebut terkanun di dalam Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan.    Bagaimanapun, pada praktiknya tidak semua daripada hak-hak tersebut benar-benar signifikan kerana terdapat sekatan- sekatan yang kelihatan melampau dikenakan.   Ini kerana meskipun sekatan-sekatan tersebut yang dikenakan oleh statut-statut tertentu – dibenarkan oleh perlembagaan, pada hakikatnya undang-undang yang berkenaan telah menafikan hak-hak yang sangat asasi dan penting buat sesebuah demokrasi 1

.
Keadaan tersebut menimbulkan tanggapan bahawa perlembagaan hanya agung pada teorinya sahaja. Boleh dikatakan bahawa masalah yang wujud hari ini sebenarnya berpunca daripada ketiadaan arah dan falsafah bagi menjamin pengekalan hak-hak berkenaan dalam bentuk yang bermakna.  Dalam hal ini Suruhanjaya Reid kelihatan bersalah kerana terlalu yakin bahawa kebebasan asasi telah memiliki asas yang kukuh di negara ini.  Walaupun begitu kerangka perlembagaan tidak seratus peratus bersalahkerana apa yang dilihat sebagai pengikisan atau penafian hak-hak berkenaan, khususnya akhir-akhir ini, turut berpunca daripada kurangnya kefahaman tentang sifat dan pentingnya hak-hak berkenaan, khususnya dalam konteks demokrasi dan tabii manusia sebagai insan yang tinggi darjatnya. Sesuai dengan judulnya tulisan ini tidak menumpukan perbahasannya kepada peruntukan atau kes-kes yang relevan; sesuatu yang telah dilakukan oleh kebanyakan penulis.   Sebaliknya makalah ini bertujuan membuat analisis umum; sebuah kupasan bersifat makro yang hendak member gambaran menyeluruh tentang scenario semasa; terutamanya kerangka perlembagaan dan amalan yang ada.   Ini termasuklah perkembangan mutakhir yang berlaku termasuk penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) turut disentuh bagi menyediakan analisis terkini tentang aspek-aspek kebebasan asasi di Malaysia.

Categories: