Latest Stories

Hak asasi atau yang lebih dikenali dengan hak asasi manusia boleh didefinisikan sebagai sekumpulan hak-hak yang dianggap asas dan penting; yang tidak boleh dinafikan: ia dianggap sebagai sesuatu yang mendasar.  Tanpa hak-hak ini manusia mungkin tidak dapat mengembangkan potensi kemanusiaannya. Hak-hak asasi merangkumi segenap aspek; baik jasmani mahupun rohani . Perlu ditegaskan bahawa oleh kerana hak-hak ini dianggap sebagai wujud atau timbul bersama-sama dengan kewujudan manusia, khususnya bagi sesiapa yang mempunyai agama, adalah sesuatu yang dianugerahkan oleh Penciptanya.


Dengan kata lain hak-hak tersebut bukanlah ihsan pemerintah atau penguasa awam.  Hakikat ini perlu ditegaskan kerana nantinya ia dapat membantu kita menilai samaada sekatan-sekatan atau penafian-penafian yang dikenakan terhadap hak-hak asasi itu wajar atau sebaliknya. Walauapa pun tafsiran atau definisi hak-hak asasi manusia, perlu dinyatakan di sini bahawa penterjemahan sebenar prinsip-prinsip umum hak asasi itu boleh berubah mengikut masa, tempat dan juga agama.

Dengan itu sesuatu yang tidak dianggap asasi pada suatu masa mungkin menjadi asasi dan penting pada masa dan tempat yang lain.  Ini dijelaskan oleh apa yang hari ini disebut sebagai hak untuk hidup dalam persekitaran yang bebas daripada pencemaran alam yang lima puluh tahun dahulu tidak dianggap penting.   Bagaimanapun dalam tempoh sedekad yang lalu suasana kehidupan yang bebas daripada pencemaran itu kian dianggap penting.

Mengikut kepada kenyataan ini mungkin boleh dikatakan bahawa apa yang disifatkan sebagai asasi itu mungkin juga perlu mengambilkira samada ia adalah sesuatu yang boleh diterima oleh keseluruhan masyarakat. Di peringkat antarabangsa hak-hak ini terkanun dalam dokumen yang dipanggil Perisytiharan Sejagat mengenai Hak-hak Asasi Manusia 1948.

Perisytiharan ini penting kerana ia dianggap mendasari falsafah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 1945.   Ia masih dianggap penting sehingga ke hari ini dan sering menjadi rujukan dan piawai buat perlembagaan-perlembagaan kebanyakan negara di dunia.  Meskipun di peringkat antarabangsa Eropah dan dunia Islam beberapa dokumen penting mengenai hak-hak asasi manusia telah diisytiharkan selepas 1948 Perisytiharan Sejagat mengenai Hak-hak Asasi Manusia 1948 masih dianggap sebagai rujukan utama.  Salah satu sebab mengapa ia masih dianggap penting ialah sifatnya yang tidak mengikat ke atas negara-negara anggota PBB.    Ini dibuktikan dengan sikap berkecuali Arab Saudi terhadap peruntukan yang mengizinkan kebebasan menukar agama.  Dengan kata lain perisytiharan berkenaan, meskipun mengambil nada yangtegas berhubung dengan hak-hak asasi, menghormati kelainan budaya, agama dan fahaman politik; yakni faktor-faktor yang boleh membezakan penekanan dan perterjemahan prinsip-prinsip hak-hak asasi manusia di peringkat nasional.   

Sebab itu suara-suara yang mendesak kajian semula kandungan perisytiharan berkenaan tidak menghasilkan apa-apa susulan.    Apatah lagi apabila retorik-retorik berkenaan dijeritkan oleh pemimpin-pemimpin dunia ketiga yang rekod hak-hak asasi mereka tidak begitu baik.  Umumnya laungan-laungan tersebut di suarakan oleh pemimpin-pemimpin negara-negara membangun yang merasakan bahawa prinsip-prinsip dalam perisytiharan berkenaan boleh menggugat kedudukan mereka. Perbincangan mengenai hak-hak asasi perlu dilakukan dalam konteks keberperlembagaan (constitutionalism) dan konsep-konsep lain yang lahir daripadanya; terutamanya kedaulatan undangundang. 

Kedaulatan undang - undang tidak harus difahami secara harfiah kerana ia sebenarnya sarat  . dengan nilai.  Sebab itu orang sering membezakan antara kedaulatan undang-undang atau rule of law dengan kawalan oleh undang-undang yakni rule by law.  Kedaulatan undang - undang mengungkapkan undang-undang yang adil dan saksama sedangkan kawalan undang-undang atau rule by law lebih bertumpukan kepada undang-undang yang bersifat positif, yang tidak semestinya adil dan saksama.  Ini dapat diterangkan dengan merujuk kepada undang-undang atau statut yang diluluskan oleh Parlimen tetapi zalim dan tidak adil.  Unsur-unsur keadilan dalam kedaulatan undang-undang dibayangkan oleh tuntutan-tuntutan konsep tersebut.  

Menurut A.V. Dicey kedaulatan undang-undang menuntut : (a) bahawa semua tindakan pihak berkuasa awam perlu disokong oleh undang-undang dan semua pegawai awam adalah bertanggungjawab kepada mahkamah atas tindakan-tindakan yang menyalahi undang- undang, (b) bahawa tidak boleh wujud budibicara yang terlalu luas pada tangan pegawai-pegawai awam, (c) bahawa semua warganegara berhak mendapat perbicaranaan yang adil di mahkamah yang bebas dan (d) bahawa semua warganegara berhak mendapat layanan yang sama di sisi undang-undang.

Categories: