Salah satu perkara yang dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muyhiddin yassin semasa keputusan peperiksaan SPM dan STPM diumumkan lalu adalah jurang perbezaan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar. Hakikatnya, perbezaan dalam pencapaian tersebut bukanlah suatu yang baru dan memperlihatkan terdapat pengagihan pendidikan yang ketara.
Perbezaan pencapaian itu juga membayangkan adanya perbezaan-perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus membayangi segala keciciran dalam keputusan peperiksaan dan prasarana, dan apakah jurang itu boleh dirapatkan atau ia sebenarnya semakin melebar. Apakah punca membawa kepada timbulnya senario tersebut - mungkinkah faktor geografi menjadi suatu hukuman kepada anak-anak luar bandar mendapat pendidikan terbaik, atau sistem pendidikan sendiri gagal berfungsi dengan baik untuk memberikan hak sama rata dalam pendidikan.
Tetapi apakah sekolah luar bandar dan murid-muridnya merupakan golongan yang tercicir disebabkan mereka lahir sebagai orang yang hidup dalam ketinggalan, atau mereka tidak mendapat yang terbaik untuk maju dan bersaing dengan rakan sebaya di bandar. Hakikatnya juga, ramai anak-anak luar bandar terpencil yang berjaya dalam pendidikan dan kini menjawat kedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing.
Anda sebagai warga Malaysia yang prihatin dan berpengalaman juga tentunya dapat melihat perbezaan antara pendidikan bandar dan luar bandar, antara murid sekolah terpencil dengan murid sekolah bandar yang menggambarkan seolah-olah wujudnya dua darjat dalam pendidikan. Apakah yang anda anggap menjadi penunjuk jelas kepada senario sekolah luar bandar yang terciri - mungkinkah keputusan peperiksaan atau kemudahan prasarana sekolah?
Pada masa sama, apakah saranan dan pandangan yang boleh digunakan untuk mengurus jurang pendidikan supaya tidak berlakunya jurang ketara yang bermakna menafikan sekumpulan anak warga dengan sekumpulan lain yang dianggap bertuah di bandar. Juga apakah peranan guru, ibu bapa dan pihak berkuasa dalam memastikan sistem pendidikan yang setara untuk semua tanpa mengira kedudukan geografi?
Categories:
Pendidikan