SAYA tidak fikir ada isteri yang sanggup menjadikan dirinya sebagai ‘pelacur kelas pertama’. Sebodoh-bodoh ‘Mak Andeh’ pun tentu dia tidak tergamak menganggap dirinya pelacur kepada ‘Pak Pandir’.
Tetapi, itulah yang disyorkan oleh Dr Rohaya Mohamed. Beliau mahu para isteri sentiasa mentaati suami dan memberi layanan seks seperti pelacur kelas pertama. Ini cara terbaik mengelakkan suami ‘makan luar’.
Mungkin ada suami bertanya, apakah Dr Rohaya betul-betul tahu bagaimana layanan seorang pelacur kelas pertama? Kalau beliau tahu bagaimana pula hendak diajarkan ilmu itu kepada para isteri?
Saya pun tertarik untuk mengetahui – dan buat perbandingan – apakah KPI untuk pelacur tahap tinggi itu: adakah ciumannya, usapannya, pelukannya? Atau, adakah KPI dinilai dari daya cengkamannya?
Kepada siapa yang belum kenal, beliau ialah Naib Presiden Kelab Isteri Taat (KIT), atau bahasa Inggerisnya ‘Obedient Wives Club’ (OWC, bukan OIC!), sebuah NGO yang baru ditubuhkan Sabtu lalu.
Kelab ini diilhamkan oleh Global Ikhwan iaitu sebuah pertubuhan dikaitkan dengan bekas ahli-ahli al-Arqam. Dua tahun lalu pertubuhan ini menubuhkan Kelab Poligami Ikhwan, yang ahlinya kini berjumlah 800 orang, terdiri daripada suami dan isteri.
Mungkin Kelab Poligami terlalu eksklusif, jadi bilangan ahlinya tidak ramai. Boleh jadi juga pasangan berpoligami malu untuk menjadi ahli. Atau, mungkin juga ada yang takut menjadi ahli sebab berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama. Apa pun sampai hari ini saya belum layak menjadi ahli!
Setakat ini belum diketahui berapa ramai (isteri sahaja!) yang mendaftar menjadi ahli KIT. Bagi isteri yang tidak ada keyakinan diri dan ingin mengetahui KPI menjadi ‘pelacur’ yang baik, mungkin boleh menyertai kelab ini.
Kelab ini akan memberi petua-petua kepada ahli mengenai kaedah memikat suami. Menurut jurucakapnya, Siti Maznah Mohd Taufik, seperti disiarkan media, antara petua tersebut ialah berpakaian seksi dan senyum menggoda ketika bersama suami di rumah.
Saya tidak pasti apakah benar pakaian seksi – mungkin baju tidur dari kain jarang yang nampak semuanya berbalam-balam! – dan senyuman menggoda boleh memikat suami. Ramai suami lebih suka isteri berpakaian sopan.
Mungkin bagi pasangan yang baru kahwin berseksi-seksi itu boleh menghangatkan suasana malam. Tetapi bagi yang telah lanjut usia, berpakaian seksi mungkin boleh membuatkan suami diserang angin ahmar.
Sama seperti Dr Rohaya, Siti Maznah, 48, dan ibu kepada lima anak, bersetuju bahawa suami tidak akan melanggan pelacur atau ‘makan luar’ sekiranya isteri berjaya memberi layanan seks yang memuaskan.
Masalahnya ialah bagi suami walaupun sudah menjangkau usia emas masih amat berselera untuk makan, tetapi pada usia tersebut isteri sudah tidak berupaya menyediakan hidangan lazat.
Tidak dapat dipastikan apakah Dr Rohaya melatah atau sengaja hendak membangkitkan kontroversi. Apa yang jelas kenyataan beliau mengenai ‘pelacur kelas pertama’ amat tidak disenangi banyak pihak.
Antara yang menentang beliau ialah Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut yang menganggap kenyataan itu sebagai keterlaluan. Katanya, perkahwinan dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan seks.
Turut tidak bersetuju ialah Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS Aluwi Parman, dan bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Secara peribadi saya pun tidak suka isteri-isteri disamakan dengan pekerja seks. Ini satu penghinaan terhadap kaum ibu. Malah kenyataan Naib Presiden itu mungkin menakutkan isteri-isteri untuk menyertai kelab baru ini.
Persepsi awal yang negatif ini patut diperbetul. KIT patut membimbing ahli untuk menjadi isteri yang dapat mewujudkan kemanisan dan keharmonian rumah tangga, bukan mengajar mereka menjadi ‘pelacur’.
Lagi pun pada hemat saya adegan ranjang bukanlah satu-satunya faktor menjamin keharmonian suami-isteri dan keluarga. Rumah tangga banyak bergantung pada persefahaman, kerjasama, tolak ansur, kasih-sayang dan lain-lain.
Ramai orang setuju perkahwinan bukan hanya seks. Bagi pasangan suami-isteri, banyak lagi acara dan agenda di luar bilik tidur yang perlu dilaksanakan untuk melayari bahtera hidup. Pendek kata, cengkaman – tidak kira sehebat mana – hanyalah faktor sampingan!
Categories:
Cetusan