Latest Stories

Jika label sekular digunakan untuk menghentam kerajaan, label fundamentalis pula digunakan untuk menghentam pembangkang di kalangan pergerakan Islam atau pergerakan agama.

Penggunaan kedua-dua label itu secara tidak tepat memberi kesan yang buruk kepada umat Islam kerana menyebabkan mereka berpecah belah.



Label-melabel sebegitu rupa adalah berpunca daripada salah faham kita kerana mengukur segala apa yang ada pada kita melalui sudut pandangan pihak lain terutama Barat.


Akibatnya apa betul dan halal yang terdapat pada kita dianggap tidak betul dan haram.


Ekoran dari itu muncul label melabel sesama sendiri. Mereka yang dicap sebagai sekular akan membenci dan memusuhi mereka yang dicap sebagai fundamentalis. Begitu juga sebaliknya.


Justeru jika berlakulah perang pelabelan yang sangat hebat di antara puak pembangkang agama dengan lawan politiknya terutama di kalangan mereka yang menyokong kerajaan seperti yang terjadi di negara-negara Arab.


Perang pelabelan itu baru menjadi sedikit reda beberapa tahun kebelakangan ini selepas beberapa orang cerdik pandai Islam Arab mengambil sikap terbuka dan membuat penilaian semula terhadap semua label yang digunakan dalam perang pelabelan dulu.


Yang paling baru ialah perubahan pendirian Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi terhadap sekular sebagaimana telah diterangkan Jumaat lalu.


Pada masa lalu perang pelabelan menyebabkan berlaku perbalahan yang hebat di kalangan orang Islam di negara-negara Arab.


Ia menjadi antara punca yang menyebabkan berlaku serangan bersenjata ke atas sasaran kerajaan yang dicap sebagai sekular dilancarkan oleh puak-puak pelampau agama yang dicap sebagai puak fundamentalis seperti yang terjadi di Mesir, Saudi Arab dan lain-lain.


Malah ia juga yang menjadi antara punca yang menyebabkan berlaku perang saudara di Algeria yang baru saja reda tahun lepas. Perang yang meletus sejak tahun 1992 mengakibatkan kematian lebih 70,000 orang itu.


Bagaimanapun, di Malaysia istilah fundamentalis tidak dipandang serong dan sekali gus tidak dianggap menakutkan kecuali di kalangan segelintir orang Islam yang terpengaruh dengan pandangan Barat.


Sedangkan kebanyakan orang Islam tidak menggunakan istilah tersebut dalam maksud yang negatif.


Malah Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri membela mereka yang dilabel sebagai fundamentalis kerana beliau melihat istilah itu dari sudut pandangan yang positif yang tepat dengan pandangan Islam.


Malah beliau sendiri menganggap dirinya sebagai fundamentalis.
Dalam erti kata lain Dr. Mahathir menolak untuk melihat fundamentalis dari sudut pandangan Barat seperti yang berlaku di negara-negara Arab.


Pendirian Dr. Mahathir ini sedikit sebanyak menyebabkan istilah fundamentalis tidak lagi menjadi isu di Malaysia.


Fundamentalis dari sudut pandangan Islam bermaksud orang yang berpegang dengan fahaman fundamentalisme.


Fundamentalis disebut dalam istilah Islam sebagai salafi. Sedangkang fahaman fundamentalisme yang dipegang oleh mereka pula dipanggil salafiah.


Secara ringkasnya salafi adalah merupakan orang yang menyeru kembali kepada fahaman falafiah, iaitu ajaran agama yang menjadi asas, asal dan pokok dalam ajaran Islam seperti terdapat pada zaman awal Islam.


Bagaimanapun, fundamentalisme dalam perbincangan yang tidak bersifat ilmiah dalam media massa Arab tidak diberi erti salafiah, sebaliknya diberi erti usuliah.
Sebenarnya jika kita melihat fundamentalisme/salafiyyah/usuliah dari sudut pandangan Islam, kita dituntut pun kembali kepada apa yang dianggap menjadi asal usul dalam ajaran Islam itu.


Mengenai perkara ini terdapat banyak nas dari al-Quran dan hadis seperti yang menuntut kita merujuk kepada dua asal usul agama, iaitu al-Quran dan hadis, sama ada dalam nas-nas yang bersifat khusus mahupun dalam nas-nas yang bersifat umum.


Malah secara tersirat terdapat juga nas-nas al-Quran dan hadis yang menuntut kita supaya merujuk juga kepada ijtihad para sahabat dan ulama.
Begitulah maksud sebenarnya fundamentalis/salafiah/usuliah menurut pandangan Islam.


Ia tidak kena mengena dengan maksud fundamentalisme yang dimomokkan oleh media Barat.


Perlu diterang bahawa asal usul atau fundamentalisme/salafiah/usuli ah dalam maksud yang lebih luas terdapat pada semua bangsa dan negara di seluruh dunia.


Orang Melayu sebagi contoh selain mempunyai asal usul Islam berkaitan dengan ajaran-ajaran agama, mereka juga mempunyai asal usul Melayu dari segi budaya, adat istiadat, bahasa, bangsa, negara, sejarah dan lain-lain.


Kerana adanya asal usul Islam dan Melayu ini pada orang Melayu, maka terbentuklah identiti manusia Melayu seperti yang terdapat sekarang.


Dari aspek ideologi dan fahaman politik, setiap seorang mesti merujuk kepada asal usul ideologi dan fahaman politik yang menjadi pilihannya.


Seorang pejuang sosialis umpamanya akan merujuk kepada asal usul sosialisme atau komunisme yang dibincang oleh Karl Marx, Lenin dan lain-lain.


Mereka yang menjadi pejuang kapitalis pula akan merujuk kepada ajaran kapitalisme yang dibincang oleh Ludwig von Mises, Eugen von Bohm-Bawerk, Carl Menger, Frederic Bastiat, Adam Smith, Dave Ricardo dan lain-lain.


Orang Islam akan merujuk kepada asal usul Islam yang dibincang dalam al-Quran, hadis, kitab-kitab agama yang dikarang oleh para ulama terdahulu.


Kesimpulannya semua orang adalah fundamentalis kerana tiada seorang manusia yang tidak mempunyai asal usul.


Dan fundamentalis Islam pula bukanlah pelampau agama seperti yang dimomokkan oleh media Barat, tetapi mereka adalah orang Islam sejati.

Categories: