Untuk menjawab persoalan ini, kita terlebih dahulu perlu mengetahui apakah tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksnakan oleh sebuah kerajaan Islam seperti yang diterangkan oleh para Ulama dalam kitab-kitab fiqh. Untuk tujuan ini, kita berpandukan kepada kita-kitab tulisan Abu Yaala (ms. 458H) dari mazhab Hambali dan Al-Mawardi (ms. 450H) seorang ulama terkemuka mazhab Syafie.
Mereka telah menggariskan tugas-tugas yang menjadi tanggungjawab sesebuah pemerintahan Islam dalam buku masing-masing yang berjudul "Al Ahkam As-Sultaniah". Menurut Al-Mawardi secara umumnya tugas pemerintah Islam ialah: menjaga kepentingan agama dan mentadbir urusan negara dan umat. Menurut Ibnu Taimiyah; "Urusan pemerintahan adalah antara kewajipan agama yang terbesar; malah agama itu sendiri tidak dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintahan" (al-Siyasah al-Syariyah).
Mereka telah menggariskan tugas-tugas yang menjadi tanggungjawab sesebuah pemerintahan Islam dalam buku masing-masing yang berjudul "Al Ahkam As-Sultaniah". Menurut Al-Mawardi secara umumnya tugas pemerintah Islam ialah: menjaga kepentingan agama dan mentadbir urusan negara dan umat. Menurut Ibnu Taimiyah; "Urusan pemerintahan adalah antara kewajipan agama yang terbesar; malah agama itu sendiri tidak dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintahan" (al-Siyasah al-Syariyah).
Setelah menyebut secara umum tanggungjawab pemerintah dalam Islam, Al-Mawardi menghuraikan secara terperinci tugas-tugas tersebut yang dapat dirumuskan seperti berikut:
1. Memelihara agama dari sebarang pencerobohan fahaman dan ajaran yang boleh memesong akidah dari ajaran Islam sebenar seperti yang diijtimak oleh ulama yang berlandaskan Quran dan Sunnah.
2. Melantik jemaah menteri bagi membantu negara dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Menurut Al-Mawardi, "Harus melantik orang kafir yang menjadi warga negara Islam (Zimmi) sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah Islam (Wazir Tanfiz)" (1996, 27). Mengenai perlantikan wanita sebagai menteri dan jawatan-jawatan awam yang lain, para ulama mempunyai pendapat yang berbeza. Sebahagian ulama seperti Al-Mawardi berpendapat tidak harus, manakala sebahagian yang lain seperti Imam Abu Hanifah dan Ibnu Jarir At-Tabari berpendapat harus melantik wanita memegang jawatan-jawatan awam kecuali jawatan tertinggi sebagai ketua negara. Dr. Ibrahim Abdul Hamid dari Universiti Al Azhar dalam kajiannya "Nizamul Qada' Fil Islam" menyokong pendapat terakhir ini, kerana tiada sebarang dalil yang kukuh melarangnya. Bahkan di dalam sejarah Islam terdapat contoh-contoh dalam mana wanita dilantik memegang jawatan awam. Antaranya ialah Saidina Umar R.A pernah melantik seorang wanita bernama Assyifa' sebagai ketua perbandaran di zaman pemerintahannya. Saidina Aisyah R.A pernah menjadi pemerintah tertinggi salah satu pasukan tentera yang terlibat dalam peperangan Al-Jamal. Beliau adalah seorang ahli Ijtihad dari kalangan sahabat, (Al-Ansari, 1980, 303).
3. Menyediakan tentera yang mampu mempertahankan negara dan agama dari pencerobohan dan menjamin keamanan dalam negeri.
4. Mewujudkan sistem kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan.
5. Mendirikan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat dan sembahyang hari Raya, dengan membina masjid-masjid dan melantik imam-imam. Al-Qadi Abu Yaala mengkelaskan masjid kepada dua jenis iaitu : Masjid Sultan, iaitu masjid yang terletak di bawah kuasa pemerintah, dan Masjid Am, iaitu masjid persendirian. Bagi masjid sultan, kuasa melantik imam adalah menjadi hak pemerintah. Dengan itu, 'tidak harus menjadi imam di masjid sultan melainkan orang-orang yang dilantik oleh kerajaan. Sekiranya kerajaan melantik imam, maka dialah yang berhak menjadi imam sembahyang, sekalipun ada orang lain yang lebih afdal dan lebih alim darinya.' Malah menurut Abu Yaala, "sekiranya imam rasmi telah selesai menunaikan sembahyang secra berjemaah, tidak harus bagi orang lain mendirikan jemaah, kerana ditakuti perbuatan tersebut dianggap sebagai satu bentuk tentangan terhadap kuasa pemerintah." Ini juga adalah pendapat Imam-imam Syafie, Maliki dan Hanafi (1974, 95).
6. Mengedalikan urusan ibadat mengerjakan ibadat Haji.
7. Mengendalikan urusan pemungutan dan pembahagian zakat seperti perlantikan amil dan sebagainya.
8. Memungut hasil dari sumber-sumber yang ada dalam negara (Kharaj).
9. Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan tanah (Ehya' al-Mawat)
10. Mewujudkan pentadbiran yang cekap bagi mengendalikan urusan-urusan kewangan, harta benda kerajaan, pekerja dan juga pasukan bersenjata.
11. Membenteras jenayah dan mengenakan hukuman terhadap penjenayah dengan hukuman yang sesuai sam ada had (jenayah) yang ditetapkan hukumannya oleh syarak dengan syarat-syarat tertentu seperti zina, minum arak dan sebagainya. Atau taazir (jenayah-jenayah lain yang diberi kuasa kepada pemerinta menetukan bentuk hukumannya).
12. Melaksanakn tugas hisbah yang dalam konteks negara moden dikenali dengan bahagian penguatkuasaan. Ia bertujuan memastikan supaya adab-adab, akhlak dan syiar Islam serta peraturan-peraturan yang diwujudkan untuk kesejahteraan masyarakat dapat ditegakkan.
Apa yang disebutalan oleh kedua-dua ulama ini bolehlah dianggap sebagai kewajipan-kewajipan asas sahaja dan bukannya bersifat menyeluruh. Ada beberapa perkara lagi yang tidak disebutkan kerana belum diambil alih oleh kerajaan atau belum wujud pada mas itu seperti bidang pendidikan, kesihatan, industri dan sebagainya.
Adalah nyata dari apa yang dipaparkan di atas bahawa kewajipan sesebuah kerajaan Islam itu meliputi bidang yang sangat luas dan bukan terhad kepada melaksanakan hukum hudud semata-mata, sekalipun tidak dinafikan bahwa ianya salah satu kewajipan asas yang wajid dilaksanakan. Dengan demikian, tentulah tidak logik dan tidak adil untuk mengambil perlaksanaan hukum hudud semata-mata sebagai asas penilaian bagi menentukan sesebuah kerajaan itu Islam atau tidak.
Dalam konteks Malaysia, kecuali beberapa perkara kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, boleh dikatakan keseluruhan tanggunjawab yang menjadi kewajipan sesebuah kerajaan Islam telah dilaksanakan, walaupun terdapat kelemahan dan kekurangan di sana sini, yang mana proses memperbaiki dan menyempurnakannya dilaksanakan secara berterusan.
Oleh kerana sistem pemerintahan yang ada hari ini adalah warisan peninggalan penjajaha maka terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang berjalan tidak bersesuaian dengan kehendak Islam. Menyedari hakikat ini, maka kerajaan telah melancarkan dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran Negara. Malalui dasar ini, segala yang bercanggah dengan Islam akan disesuaikan dengan kehendak Islam secara berperingkat dan dengan cara yang bijaksana.
Dasar penerapan nilai-nilai Islam sebenarnya adalah satu dasar yang luas dan terbuka, dengan erti kata ini merangkumi semua nilai dan hukum Islam yang menjadi kewajipan kerajaan melaksanakannya. Ia juga adalah satu dasar yang akan dijalan secara berterusan sehinggalah matlamat menegakkan Islam dalam sistem negara terlaksana dengan sepenuhnya.
Categories:
Pendapat