Latest Stories

Hati sedih tidak terkata. Gelora di dada kian membara. Melihat saban hari masyarakat Melayu semakin berpecah belah. Menjadi berkeping-keping buih di tengah lautan samudera. Fizikalnya kelihatan banyak mengunung, tetapi disentuh pecah berderai.

Kita tidak menyedari bahawa betapa parahnya keadaan bangsa kita pada hari ini. Betapa ramai yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Namun, seringkali diketepikan atas tiket politik. Dan betapa jua berjayanya bangsa kita menjadi musuh sesama mereka. Di kiri kanan musuh-musuh kita menunggu masa untuk meratah dan bersorak kegembiraan. Betapa segala kekayaan dikaut oleh orang lain, sedang kita merana di bumi sendiri.



Tidak habis-habis orang kita berpolimik politik. Umno dengan caranya, begitu juga pas dengan caranya. Ada nama politik kita mengenepikan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Mulut bercerita pasal Islam, tetapi perbuatan kita langsung kontra dengan apa yang diucapkan. Tiadakah lagi sekelumit rasa cinta dan ukhuwah sesama Islam? Hanya kerana label Umno dan Pas , tembok permusuhan segagah tembok besar cina terbina dengan sendiri.

Politik itu ada di dalam Islam. Tetapi Islam masih di atas politik. Adakah kita berpolitik untuk memenangkan Islam, atau kita menggunakan istilah Islam sebagai alat politik. Ternyata kita semakin celaru. Yang terkeluar hanyalah maki hamun.

Utusan Melayu umumnya masyarakat sudah tahu akan perihal perangainya yang semula jadi menjadi pusat propaganda dan adu domba. Namun, bagaimana dengan perihal tuan guru kita yang asyik mencipta polemik dan bola tanggung yang terus menerus membingungkan orang awam seperti kita. Adakah kerana hanya satu perkara kecil iaitu doa, maka kita bergolok berparang untuk menegakkan kebenaran masing-masing?

Apakah tiada lagi istilah diplomasi di dalam kamus bangsa kita? Kerana doa maka kita terpaksa usung sepanduk ke sana ke mari. Lalu pihak yang satu lagi terpaksa juga mengadakan perhimpunan untuk 'counter-attack' tindakan yang di sebelah sini. Bukankah ia satu perbuatan yang bersifat kartun yang kadang-kadang susah diterima akal yang normal.

Andai kata isu di sini soal royalti, maka fokuskanlah kepada royalti. Usahlah dicanangkan bahawa kerana royalti itu disekat, maka kita hebahkan satu negara bahawa kita akan berdoa supaya yang menyekat itu akan diturunkan bala. Adakah itu sebenarnya akhlak dan adab seorang pemimpin Islam? Apakah itu contoh dan sunnah yang diturunkan oleh Rasulullah?

Cukup-cukuplah dengan polemik kita ini. Kembali lah fokus kepada perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Andai kata di dalam jemaah itu sendiri sudah berpecah-belah adakah mungkin agama itu akan terbela. Betulkan di dalam, barulah kita dapat fokus yang diluar. Andai di dalam rosak, maka hancur berkecailah jemaah itu. Rapatkan saf, betulkan barisan. Yang pasti islam itu bersaudara dan bukanlah perpecahan matlamat kita. 

Categories: