Latest Stories

APA ITU HUDUD?

Hudud adalah salah satu kandungan dalam Hukum Jenayah Islam selain Qisas dan Ta’zir. Masing-masing mempunyai hukum dan sifat-sifatnya yang khusus. Pengertian hudud berdasarkan petikan daripada buku Mengenal Qanun Jenayah Islam yang dikarang oleh Dr. Abdul Ghani Azmi b. Idris, bahawa ;

Berasal daripada kata jamak, mufradnya Haddun: menurut bahasa ia bererti batas atau tegahan. Penjaga pintu dinamakan Haddad. Dan hukum ini dinamakan Hudud atas uqubah-uqubah maksiat kerana ia biasanya dapat mencegah pembuat maksiat mengulangi perbuatan maksiat yang kerananya dikenakan had. Dan pada asalnya perkataan had ialah sesuatu yang memisahkan antara dua perkara dan digunakan atas sesuatu yang membezakan sesuatu yang lain.

Menurut istilah Syara’, Hudud ialah uqubah (hukuman seksa dunia) yang telah ditetapkan untuk menjaga hak Allah s.w.t. Oleh kerana itu tidak termasuk Ta’zir kerana Ta’zir tidak ada ketentuan hukumannya dan tidak termasuk pula qisas kerana qisas adalah hak anak Adam.

Kesalahan dalam jenayah Hudud dianggap sebagai kesalahan terhadap hak Allah, kerana perbuatan itu menyentuh kepentingan masyarakat umum iaitu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan orang ramai dan hukumannya pula memberi kebaikan kepada mereka. Kesalahan ini tidak boleh diampunkan oleh manusia sama ada mangsa jenayah itu sendiri, warisnya ataupun masyarakat umum.

Categories: