JIWA YANG MATI
Anda mengaku Allah itu sebagai Tuhan yang Maha Agung. Akan tetapi anda berjalan di muka bumi ini dalam keadaan bongkak seolah-olah tidak bertuhan. Tiada langsung rasa diperhatikan. Membuat apa sahaja sesuka hati. Tidak pernah rasa bergetar jiwa apabila menyebut nama Allah.
Anda mengaku Muhammad itu sebagai Rasulullah. Akan tetapi tiada langsung keinginan untuk mematuhi sunnah murni baginda. Tiada langsung usaha untuk berselawat kepada baginda. Tiada langsung rasa rindu untuk bertemu baginda bagi mendapatkan syafa’at di hari Akhirat kelak.
Anda mengaku al-Quran sebagai kitab panduan wahyu Ilahi. Akan tetapi anda tidak pernah berusaha untuk melazimi bacaannya. Seminggu sekali pun agak payah. Al-Quran, terjemahan serta aplikasi al-Quran dalam komputer, laptop dan smart phone jarang dibuka. Apatah lagi untuk menghayati maknanya. Apatah lagi untuk merasai kemanisan membacanya. Kemuncaknya ialah anda menjadikannya sebagai hiasan sahaja. Tiada langsung keinginan untuk melaksanakan undang-undang yang termaktub di dalamnya.
Anda mengaku Islam sebagai agama. Akan tetapi anda tidak pernah menjadikannya sistem hidup. Tidak pula menjadikannya sebagai dasar dan kayu neraca membuat keputusan di dalam diri anda. Walaupun mengaku Islam, dan tidak memeluk agama lain, tetapi lebih selesa dengan cara hidup penganut Kristian, Yahudi atau masyarakat tanpa agama.
Anda mengaku umat Islam yang lain sebagai saudaramu. Akan tetapi kamu selalu menzalimi mereka. Sedang anda tidur lena, dibiarkan sahaja saudaramu yang di dalam kesusahan. Sedang saudaramu pergi berjuang, anda membiarkan sahaja mereka keseorangan, bahkan membuat kerja yang menyusahkan mereka. Hidup di dalam kebencian dan permusuhan. Suka sangat mencari kesalahan orang.
Itu semua merupakan sebahagian tanda yang jiwa kita yang sudah mati.
Ibarat badan manusia, matinya kerana terpisah antara roh dengan jasad. Roh itulah merupakan sebab mengapa manusia itu bernyawa. Tanpa roh, manusia itu mati.
Categories: