Latest Stories



Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu persimpangan sejarah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan keangkuhan kuasa UMNO/BN lebih daripada 55 tahun.

Keinginan rakyat berjuang untuk perubahan di Malaysia semakin kuat. Rakyat mahu selamatkan Malaysia daripada masalah politik, ekonomi, sosial serta pendidikan yang kian hari kian serius. Kehidupan rakyat juga dalam keadaan yang susah di mana beban yang semakin berat.

Dalam PRU13, sebanyak 13,052,374 pengundi yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada negara kita akan mengembalikan hak kepada rakyat, banteras rasuah dan menubuhkan Malaysia yang baru yang berasaskan dengan prinsip kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Sebagai seorang pengundi yang bijak maka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat yang tepat. Oleh itu, semua pengundi perlu mengetahui 10 taktik kotor yang seringkali dipergunakan oleh UMNO/BN sejak dulu lagi agar tidak tertipu lagi.

Taktik KOTOR 1: Tidak Berupaya Bezakan Negara dan Parti.

Sebagai balasan perjuangan kemerdekaan, UMNO/BN telah rampas tanah rakyat dengan terang-terang. 24 keping tanah komersial di Selangor telah dijual dengan RM1 persegi menunjukkan keangkuhan kuasa yang ada pada UMNO/BN.

Taktik KOTOR 2: Salahguna Kuasa Untuk Kepentingan Politik.

Bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan menuduh Menteri Dalam Negeri campur tangan politik ke atas pasukan polis. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipergunakan untuk menyiasat badan bukan kerajaan NGO SUARAM yang menfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar dan memindah kakitangan awam di negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menjejaskan urus tadbir kerajaan negeri. Semua adalah contoh salahguna kuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Taktik KOTOR 3: Politik Perkauman.

Walupun negara telah merdeka lebih 55 tahun, tetapi UMNO/BN masih mewarisi politik ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah British. Dengan politik perkauman sempit seperti kuasa orang Melayu tergugat dan Insiden Mei 13 mungkin berulang yang dibawa oleh PERKASA dan Pemuda UMNO, maka konsep 1 Malaysia hanya menjadi satu slogan kosong yang tidak bermakna sahaja.

Taktik KOTOR 4: Politik Wang.

Presiden MCA Chua Soi Lek menyatakan bahawa politik wang bukan rasuah. Keluarga PM Najib Razak terlibat dalam projek Kementerian Pertahanan yang melibatkan sebanyak RM100 juta. Ketua Menteri Musa Aman yang terlibat secara langsung dalam RM40 juta wang seludup. Kesemua ini hanya merupakan sebahagian kecil politik wang dan rasuah UMNO/BN. Kredibiiti dan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bankrap.

Taktik KOTOR 5: Penipuan dalam Pilihanraya.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didapati adalah ahli UMNO. Senarai pengundi yang tidak bersih serta mempunyai pengundi hantu. Media tidak bebas, masa kempen terlalu singkat serta peraturan yang berat sebelah. Walaupun BERSIH 2.0 telah mendesak kerajaan untuk menjalankan reformasi sistem pilihanraya tetapi tiada perkembangan yang positif.

Taktik KOTOR 6: Akta Zalim Menindas Hak Asasi.

Walaupun PM Najib Razak berjanji untuk mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), tetapi diganti dengan dua akta yang terus membenarkan kerajaan membuat penahanan tanpa perbicaraan. Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Perhimpunan Aman adalah akta-akta zalim yang dijadikan alat kepada UMNO/BN untuk mencabuli hak asasi rakyat.

Taktik KOTOR 7: Menguasai Media dan Putar-Belit.

Utusan Malaysia, TV3 dan RTM yang dikuasai oleh UMNO/BN telah menjadi alat politik untuk menyerang Pakatan Rakyat. Liputan yang berat sebelah serta putar-belitkan sesuatu isu telah menyebabkan media massa tersebut hilang kredibiliti dan profesionalisme. Media massa tersebut juga tidak berupaya membuka minda masyarakat umum.

Taktik KOTOR 8: Fitnah dan Aibkan Pembangkang.

Tuduhan fitnah yang sering dibuat oleh UMNO/BN ke atas Pakatan Rakyat seperti hasut rakyat guling kerajaan melalui demonstrasi atau belajar dari Arab Spring, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. Peserta demonstrasi didakwa membawa senjata atau menyerang polis adalah taktik kotor UMNO/BN yang tipikal.

Taktik KOTOR 9: Budaya politk samseng dan ganas.

Banyak ceramah umum Pakatan Rakyat telah diganggu dan diserang oleh penyokong UMNO/BN. Politik samseng seperti baling batu, rosakkan banner, bakar bendara parti serta SMS ugutan sering diamalkan oleh UMNO/BN yang tidak berani untuk berdebat atau berhujah. Puak samseng tersebut masih bermaharajarela sampai hari ini.

Taktik KOTOR 10 Alih Fokus dan Tipu Helah.

Apabila ditentang kuat oleh masyarakat sivil seperti BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau, UMNO/BN akan mengalih fokus untuk meredakan bantahan daripada masyarakat umum. Dalam isu Lynas, kerajaan UMNO/BN sanggup menipu rakyat dengan menyatakan produk sisa radioaktif akan dihantar keluar ke luar negera walaupun dilarang oleh Waigani Convention. Kesemua ini adalah tipu helah UMNO/BN.

Categories: