Latest Stories


Untuk jangka waktu agak lama, penduduk di sekitar Petaling Jaya terpaksa melintasi beberapa gereja sebelum mereka sampai ke pelbagai destinasi. Sebagai contoh jika kita dari PJ Old Town atau juga dikenali sebagai kawasan Melayu, kita akan melalui Jalan Templer dan Jalan Gasing untuk memasuki Lebuhraya Persekutuan sebelum boleh ke Shah Alam ataupun kembali semula ke Bangsar dan Kuala Lumpur.



Bangunan gereja lazimnya mudah dikenali kerana terdapat lambang salib pada puncak bumbung. Bagi penduduk beragama Islam, kehadiran gereja-gereja ini tidaklah menjadi kesalahan kerana sebagai negara mengamalkan kebebasan beragama, hak memilih agama tidak dihadkan kepada agama Islam semata-mata.


Namun sekali-sekala, malah sejak awal 1970-an lagi kita terdengar ada orang Islam dilihat memasuki beberapa gereja. Isu orang Melayu ke gereja, sama ada pada hari Ahad atau pada waktu malam biasa tentu saja menjadi buah mulut. Disebabkan isu begini boleh mencetuskan perbalahan jika dipanjangkan, tentu saja orang-orang Melayu berpegang kepada bidalan “biar pecah di perut jangan pecah di mulut.” Harapan kemudian disandarkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak menyiasat.


Waktu saya menjadi wartawan dan kemudian mengusahakan syarikat penerbitan sendiri, berita orang Melayu dimurtadkan sering sampai ke telinga, namun kerana ‘takut’ lesen atau permit surat khabar kami dibatalkan, isu itu didiamkan.


Hari ini masyarakat sudah agak terbuka dan KDN selaku pengeluar permit surat khabar sudah agak berlembut. Isu ini sudah boleh diungkit dan dasar keterbukaan kerajaanlah maka pihak media berani menyiarkan dakwaan Mufti Perak tidak lama dulu tentang adanya gereja menjalankan usaha menarik orang Melayu ke agama Kristian di Ipoh.


Isu seumpama ini menggetarkan kolam keimanan umat Islam, namun bagi sesetengah pihak pendedahan mufti dilihat dari aspek politik dan mufti dituduh serta dilempar dengan pelbagai anggapan serong konon pendedahannya “ada udang di sebalik batu.” Malah pihak berkuasa yang menjaga agama Islam pun macam menyepi seribu bahasa.


Seperti hujan yang mencurah lebat, begitulah mufti dibasahi dan terpaksa berdepan dengan tulisan-tulisan di dalam blog oleh mereka yang ternyata anti-lslam dan jika penulisnya seorang Muslim, ia menuduh mufti ada agenda. Sedih tidak langsung kumpulan ini sensitif bahawa telah ramai orang-orang Melayu menjadi murtad. Begitulah orang Melayu hari ini, mereka sudah tidak lagi sensitif kepada isu murtad.


Samalah seperti sekarang, hari itu dan pada ketika isu itu sampai ke telinga saya, walau dalam apa keadaan sekalipun isu orang Melayu murtad tentulah suatu yang sukar diterima akal.


Sejak dari kecil sehinggalah saya sendiri sudah boleh menggunakan akal fikiran dengan rasional, saya sering merasakan tidak ada orang Melayu akan meninggalkan agamanya iaitu agama Islam. Malah saya merasakan Malaysia sangatlah unik di dunia kerana hampir 100 peratus orang Melayu di negara ini menganut agama Islam. Berbanding dengan di Indonesia betapa ada orang Islam menikahi pasangan beragama Kristian manakala anak yang dipunyai menentukan agama pilihan bila tiba masanya. Sehingga sekarang hal begini jarang kedengaran di Malaysia.


Perangkap agar orang Islam terpedaya lalu terjebak dalam agama Kristian telah saya lalui sewaktu di sekolah dulu. Namun ketika itu menjelang hari Krismas, hadiah yang dibalut dengan kertas berwarna-warni diberi kepada mereka yang bukan Islam. Atau dengan kata lain, guru sekolah akan memaklumkan bahawa nama-nama seperti Mohd, Kassim serta Abdul tidak layak ke gereja untuk menerima hadiah. Sehingga ada kawan-kawan mahu menukar nama kepada James, Joe dan Mike semata-mata mahu mendapat hadiah Krismas dari gereja berdekatan sekolah kami. Itu dulu dan strategi itu tentu saja belum berani diguna pakai ketika itu untuk pelajar-pelajar Muslim berbanding hari ini.


Langkah Jais baru-baru ini adalah langkah terbaik dan terbijak dalam usaha menghalang usaha penyebaran agama Kristian dalam kalangan umat Islam. Langkah Jais melakukan serbuan dengan bantuan pihak polis ke sebuah gereja baru-baru ini harus diberi sokongan penuh.


Biar difahami bukan matlamat Jais memerangi agama lain melainkan usaha Jais itu sekadar bersifat preventif sebelum lebih ramai orang Islam mencontohi rakan-rakan yang telah murtad.


Bagi Jais hal-hal seumpama ini tidak boleh dikompromikan meskipun kerajaan Selangor seperti yang kita ketahui adalah kerajaan dianggotai DAP, PKR serta Pas. Jika Pas tidak berani mendepani isu ini kerana mahu menjaga hati DAP, biar saja Jais menjadi bentengnya.


Di Amerika Syarikat, England dan Eropah, usaha memurtadkan orang-orang Islam bukan suatu yang tidak dilakukan. Melalui perkahwinan serta juga bantuan kewangan dan kerja termasuklah suaka politik, penganut Islam cuba dipancing. Ramai yang terpedaya dan terpengaruh hingga lama kelamaan ada yang meninggalkan agama asal.


Namun memilih agama anutan di negara ini adalah pilihan peribadi dan kebebasan memilih menjadi murtad jarang menjadi isu politik kerana seperti yang diketahui benua Eropah dan Amerika Utara bukanlah negara Islam. Ia bukan macam Arab Saudi atau setidak-tidaknya Pakistan.


Amat malang bagi Jais terpaksa berdepan dengan isu ini secara sendirian. Bagi media yang dimiliki bukan Islam, isu ini dicanang seolah-olah Jais melanggar undang-undang dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan kebebasan beragama. Manakala dipihak orang Islam terdapat segelintir yang merasakan Jais harus dipersalahkan, aneh bukan.


Bukankah Jais itu salah satu institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri mengenai agama Islam?


Tidak mungkin orang Islam boleh murtad jika pihak gereja serta mereka yang berkepentingan tidak mengusahakan atau mengatur strategi memurtadkan orang-orang Islam.


Kuda diheret ke sungai untuk dipaksa meminum air, begitu dengan manusia yang juga dipaksa menjadi murtad setelah terpengaruh dengan umpan perempuan, harta dan sebagainya. Dengarnya kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang Islam telah murtad. Betul ke? Mereka termasuklah Lina Joy, dulunya Muslim bernama Azlina Jalani, Aishah Bukhari dan Jamaludin Osman dan ramai lagi.


Jais dan pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini hendaklah lebih telus dan lebih berani mendepani isu-isu begini.


Sudah tiba masanya kerajaan menangani isu ini secara lebih berkesan dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada dan jika peraturan ini belum ada, baik dibentangkan untuk kelulusan Parlimen segera. Malah semua pihak yang menyayangi ugama Islam harus lebih berani dalam memastikan tidak ada lagi gadis Melayu mengikut jejak Lina Joy ataupun lelaki Melayu sanggup menjadi father Joshua.


Apa yang Jais lakukan semata-mata usaha memastikan pihak gereja tidak berselindung di sebalik pertubuhan itu dalam usaha memurtadkan orang-orang Melayu. Tidak harus ada manipulasi dari mana-mana pihak mendakwa Jais melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Media yang dimodali bukan Islam hendaklah sensitif terhadap isu murtad, bukannya mengeruhkan lagi suasana. Dan mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini, tanyalah, apakah perlu memurtadkan umat Islam Malaysia? Apakah ini soal agama atau soal politik kuasa?

Categories: