Latest Stories

Antara kelemahan yang paling mengkhuatirkan sedang melanda umat Islam ketika ini ialah perpecahan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran. Walaupun Islam tidak pernah menolak hakikat kerencaman pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.


Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf  umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Para imam mazhab umpamanya turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan semasa namun mereka tidak pernah mendabik dada sebagai pemonopoli kebenaran. Sebaliknya berpendirian: “Pendapatku betul tetapi masih berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah tetapi mungkin juga betul”.

Ungkapan seperti ini adalah manifestasi adab dan etika dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat lagi. Sebab itulah jika disingkap tabir sejarah, kita akan dapati bagaimana para sahabat turut berselisih dalam banyak perkara cabang namun tidak pernah melunturkan iman apa lagi melemahkan mereka walau sedikitpun.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz juga tidak pernah mengimpikan supaya para sahabat tidak berselisih faham sama sekali. Ini kerana baginya, perselisihan faham akan membuka pintu keluasan, keanjalan dan kemudahan kepada umat yang mempunyai tabiat dan keperluan yang berbeza (Al-Qaradawi, Fatawa Mu’asarah).

Pelbagai bukti sejarah mengenai perselisihan di kalangan sahabat dapat disaksikan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi seperti perselisihan mereka mengenai arahan Nabi berkenaan sembahyang Asar sewaktu pergi ke Bani Quraizah. Ini adalah peristiwa terkenal yang mengungkapkan hakikat perselisihan tetapi Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak mencela kedua-dua kumpulan yang berselisih faham itu.

Perselisihan tidak hanya berlaku di zaman Rasulullah sahaja, namun seawal kewafatan baginda, para sahabat sekali lagi berselisih mengenai tempat sewajarnya di mana Rasulullah s.a.w. patut dimakamkan. Ada yang berpendapat baginda wajar dikebumikan bersama sahabat-sahabatnya, manakala sebahagian yang lain berpendapat agar dipusarakan jasad Nabi s.a.w. di dalam masjid. Namun setelah dirujuk kepada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Bakar: “Tidaklah diwafatkan seorang Nabi melainkan ia dikebumikan di tempat ia diwafatkan itu”, para sahabat terus mengangkat tikar tempat Rasulullah diwafatkan dan digalikan pusara untuknya.

Banyak lagi contoh-contoh lain perbezaan dan perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan sahabat seperti persoalan politik, pemilihan Khalifah, isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan pelbagai perselisihan dalam masalah fekah yang kesemuanya ditangani tanpa mengikut hawa nafsu dan emosi melulu.

Begitulah tingginya adab dan etika perbezaan pendapat yang didokongi para sahabat Nabi s.a.w. yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepasnya, sehinggalah umat dihinggapi penyakit baru yang cepat membarah, sekaligus meranapkan akal budi dan peribadi umat.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, “politiking”, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Categories: