Latest Stories


Macam mana seronok pun hendak menyambut Aidilfitri, mesti ada berita sedih. Seperti yang dilaporkan media minggu lalu, kira-kira seratus orang pelajar dari Semenanjung kecewa untuk menjadi juruterbang profesional.

Bagaikan peserta yang gagal dalam program realiti TV, ‘Akademi Fantasia’, pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkenaan terpaksa mengheret beg untuk pulang ke rumah, tanpa sebarang diploma.


Mereka tidak dapat meneruskan kursus idaman di sebuah akademi latihan penerbangan di negeri Sarawak. Bukan kerana mereka gagal dalam mana-mana ujian, tetapi kerana pusat latihan tersebut tidak dapat meneruskan operasi.

Pihak pengurusan syarikat memberitahu mereka kekeringan dana, dan tidak berupaya lagi untuk mengendalikan latihan penerbangan yang kosnya terlalu tinggi. Maka pelajar-pelajar berkenaan diminta kemas beg.

Mudah sahaja pihak syarikat meminta pelajar supaya pulang. Memanglah, bagi syarikat senang sahaja. Duit tidak ada, tutup kedai, dan suruh sahaja pelajar balik kampung, habis cerita.

Tetapi, bagi pelajar keadaan tidak semudah itu. Ini lebih dari sekadar lipat baju, masuk dalam beg, dan naik pesawat untuk pulang. Ini melibatkan perasaan, cita-cita dan masa hadapan. Dengan keputusan cemerlang dalam SPM – ada juga pelajar STPM – mereka sebenarnya layak, malah sesetengahnya sudah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka menolak tawaran ke IPTA/IPTS semata-mata ingin mencapai cita-cita tinggi di awan, untuk menjadi juruterbang. Iklan mengenai sekolah penerbangan tersebut yang diuar-uarkan, meyakinkan pelajar untuk satu kerjaya berprestij, gaji lumayan, terbang ke seluruh dunia.

Bayangkan betapa kecewanya remaja tersebut, apabila separuh jalan kursus terpaksa dihentikan. Perasaan mereka tertekan, semangat terus merudum, keyakinan diri terus hilang. Bagi mereka masa depan menjadi tidak menentu.

Lebih menderita lagi ialah ibu bapa. Ini bukan lagi soal anak-anak mereka tidak dapat mencapai cita-cita. Ini soal duit. Semua pelajar telah membayar RM250,000 tiap seorang untuk mengikuti di akademi tersebut.

Bagi ibu bapa yang berduit mereka mampu membiayai sendiri kos yang tinggi itu. Bagi yang kurang mampu, mereka membuat pinjaman dari institusi kewangan dan mana-mana agensi yang menawarkan pinjaman pendidikan.

Mereka tidak teragak-agak untuk melabur RM suku juta – boleh beli rumah teres dua tingkat! – demi kebahagiaan masa depan anak-anak. Tambahan pula tidak ada apa yang hendak diragukan sebab pusat latihan tersebut mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi, juga disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

Tetapi sekarang pelaburan suku juta itu hancur berkecai. Mereka yang membuat pinjaman, terasa amat perit untuk membayar balik. Tiap-tiap bulan terpaksa menyediakan beribu ringgit untuk melangsaikan hutang. Ada yang tidak cukup menampung keperluan keluarga sebab gaji dihabiskan untuk membayar hutang.

Bayangkan betapanya pedihnya kehidupan sebab terpaksa membayar hutang untuk sesuatu yang telah menjadi debu. Kalau tidak bayar, surat saman akan datang, silap-silap gaya boleh diisytiharkan muflis.

Kini ibu bapa terlibat tidak tahu di mana hendak mendapat pertolongan. Baik pihak kementerian, jabatan juga pihak yang memberi pinjaman, masing-masing hanya menyatakan simpati. Tetapi simpati, walaupun dengan wajah paling sedih, tidak dapat membantu menyelesaikan kehilangan RM suku juta.

Sekiranya seratus pelajar telah membayar RM250,000 seorang, bayangkan berapa banyak wang yang dipungut oleh pihak syarikat yang mengendalikan kursus penerbangan tersebut? Tentu sekali jumlahnya RM juta-juta-juta.

Syarikat mungkin muflis, tetapi apakah tuan punya syarikat betul-betul muflis? Apakah dia naik kereta buruk, atau ada banyak kereta mewah? Apakah dia tinggal di rumah teres, atau di banglo mewah? Periksa juga jam tangan yang dipakai, kasut, cermin mata, dan lain-lain aksesori.

Kalau dia pun muflis dan dalam keadaan serba daif, kita patut sekali simpati. Tetapi biasanya dalam kes di tempat kita, syarikat sahaja muflis, pemilik syarikat masih kaya raya, hidup mewah dan boleh lagi makan angin luar negara.

Orang kaya tetap kaya, walaupun muflis. Orang miskin juga yang akhirnya masuk angin keluar asap. Siapa yang hendak membela mereka?

Categories: