Khabarnya tiket kereta api ke destinasi penting sudah pun habis. Memang raya sungguh kita.
Saya minta maaf kerana sejak pengalaman ngeri menaiki bas yang pecut macam hantu dua tahun lalu dan selepas membaca serta melihat gambar bas ekspres terbalik satu demi satu di lebuh raya, saya sudah serik naik bas.
Kini biarlah saya balik naik kenderaan sendiri di pagi raya. Bukan sahaja saya boleh kawal stering, malah jalan hampir tiada lalu lintas. Tidak kisah orang nak ingat apa pun, tapi saya bahagia. Cuma baru-baru ini saya terpaksa naik bas kerana hendak ambil kereta di Taiping. Ketika dalam perjalanan daripada ibu kota dengan bas baru-baru ini, saya pilih untuk tidak duduk, baca atau rehat seperti biasa. Sebahagian dari lebih tiga jam perjalanan itu saya guna untuk berbual dengan Asri (bukan nama sebenar), seorang pemandu bas yang muda (30-an) tetapi berhemah.
Asri sudah memandu lebih 15 tahun dan berkhidmat dengan beberapa syarikat bas. Saya ambil peluang bertanya mengenai sikap pemandu bas.
Jawapan Asri mudah sahaja; pucuk-pangkalnya duit. Pemandu pandu laju hanya untuk kejar masa, sebab lebih trip, lebihlah bayarannya. Itu sahaja. Maknanya kelajuan tidak ada kena mengena dengan tekanan penumpang.
Tapi tidak semua pemandu mata duitan. Yang berhemah seperti Asri pun ada; mereka yang tidak sanggup gadai keselamatan jiwa orang lain semata-mata kerana hendak mengejar wang.
Sekadar bertanya kepada pemandu ‘bila boleh sampai?’, atau meminta dibenarkan turun dalam perjalanan bukanlah alasan bagi pemandu memecut ke destinasi.
Yang pernah naik bas boleh sahkan penumpang tidak bersuara pun apabila bas dipandu laju. Waktu malam, biasanya mereka tidur. Penumpang kita baik belaka.
Apa pun, inisiatif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bertemu dengan pemandu bas ekspres baru-baru ini untuk mendengar pandangan mereka adalah sesuatu yang proaktif, menjelang Ops Perayaannya dari 14 Ogos ke 14 September depan.
Kemalangan di jalan raya di Malaysia memang sudah menjadi lumrah, dengan bilangan mangsa antara yang tertinggi di dunia.
Menurut perangkaan JPJ kemalangan melibatkan bas di negara ini meningkat kepada 9,096 tahun lalu dari 8,679 pada 2009. Statistik daripada Plus Expressways Bhd pula menunjukkan terdapat 198 kematian dari 2005 hingga Jun lalu, akibat kemalangan di lorong kecemasan sahaja. Untuk rekod, kira-kira 10,000 bas ekspres bergerak di jalan raya sepanjang tahun lalu dan antara 8 juta dan 10 juta orang mengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dalam musim Hari Raya Puasa tahun lalu.
JPJ juga patut dipuji dengan tindakannya mengikut perjalanan bas dan periksa bas ekspres dua kali sebelum bertolak daripada terminal di Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika Ops Perayaan dan tempatkan tidak kurang daripada 5,300 penguat kuasa di kawasan kemalangan di seluruh negara sepanjang tempoh operasi itu. Kita tunggu hasilnya.
Moga di musim raya tahun ini, kurang atau kalau boleh, tiada langsung mereka yang menangis kerana kehilangan orang tersayang. Sama-samalah kita berusaha jadikan musim Aidilfitri tahun ini sifar kematian akibat kemalangan jalan raya.
Terlanjur cakap hal pemandu, teringat laporan mengenai cadangan supaya syarikat bas dibenarkan menggaji pemandu asing. Alasannya mereka boleh jadi lebih disiplin dan tidak berani melanggar undang-undang dan peraturan lalu-lintas.
Syor itu dibuat sebuah syarikat bas untuk atasi kekurangan pemandu bas dan hapuskan kewujudan pemandu cuai.
Menurut beberapa syarikat bas, disebabkan kekurangan pemandu, mereka tiada pilihan, melainkan mendapatkan khidmat pemandu yang teruk (yang terima banyak saman kerana pandu laju). Setiap pemandu dibayar antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan.
Pada hemat saya, mendapatkan khidmat pemandu asing tidak selesaikan masalah. Pemandu asing pastinya bawa bersama mereka masalah.
Masalah disiplin dalam kalangan pemandu tempatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggaji pemandu asing.
Sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab syarikat jaga disiplin pemandu masing-masing.
Kalau syarikat bas hendakkan pemandu asing, apa pula yang boleh menahan syarikat lori, teksi dan lain-lain daripada mendapatkan khidmat pemandu asing juga?
Kerapkali disiplin yang buruk dihasilkan oleh suasana kerja yang kurang baik.Bukan begitu?
Categories:
Cetusan