Latest Stories

Angka sebenar tidak dapat dipastikan. Ada yang kata 5,000. Ada pihak yang menganggarkan 10,000 hingga 20,000. Malah, ada mendakwa 100,000. Saya ingat 5,000 terlalu sedikit, tidak masuk akal. 100,000 terlalu berlebih-lebih, juga tidak munasabah. Tidak kira berapa bilangannya, perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, sempat melumpuhkan Kuala Lumpur. Nasib baik ada kawalan polis, dan semua bersurai aman sebelah petang. Kalau tidak, ibu negara mungkin terus mati.



Kerajaan kata bilangan keluar berhimpun tidak ramai, dan itu bukti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, tidak mendapat sokongan umum. Kenyataan itu hanya dianggap benar, sekiranya tidak ada sekatan pihak berkuasa.

Tetapi, dengan semua laluan masuk ke pusat bandar ditutup, dan beribu petugas keselamatan mengawasi dengan rapi sejak malam Jumaat lagi, rasanya tidak tepat untuk mengatakan Ambiga dan konco-konconya gagal.

Kesan perhimpunan hujung minggu itu dirasakan dalam berbagai bentuk. Paling jelas, media antarabangsa termasuk CNN dan Aljazeera, memaparkan tindakan polis menyembur air dan menembak gas pemedih mata. Sudah tentu itu satu gambaran negatif terhadap negara.

Kita boleh mengawal media tempatan, tetapi gambaran-gambaran tidak baik itu disiarkan secara berleluasa oleh media antarabangsa. Bagaimana hendak kita sembunyikan, sekiranya semua itu didedahkan tanpa sebarang sekatan menerusi internet?

Sebagaimana kita gagal menyekat penyebaran video seks di alam maya, gambaran sebenar perhimpunan tanpa permit itu boleh dilihat juga oleh semua orang menerusi YouTube. Orang boleh menilai video 21 minit itu, dan kini boleh juga menilai suasana KL hari itu.

Peniaga di ibu negara juga menerima kesan. Ada yang menyebut perhimpunan telah menyebabkan peniaga kerugian RM100 juta. Tidak pula dinyatakan bagaimana taksiran dibuat untuk mengandaikan angka seratus juta itu. Dalam banyak hal, kita memang suka bercakap mengenai juta-juta-juta.

Ada pihak bermurah hati menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana-mana peniaga yang rugi dan ingin mengemukakan tuntutan saman di mahkamah. Memang mudah menyatakan jumlah kerugian. Hanya letak satu angka selepas huruf RM, dan tambah berapa sahaja angka kosong yang kita hendak – dua, tiga, enam. Tetapi persoalan utamanya ialah: siapa hendak disaman?

Saya diberitahu kesan perhimpunan itu dirasakan juga di atas katil. Sepasang pengantin yang masih dalam suasana bulan madu, saling berhujah sebaik menonton berita mengenai perhimpunan, di TV malam itu.

Mula-mula hujah biasa, suami-isteri cuba mengambil hati. Tetapi makin lama makin hangat, sebab masing-masing ingin mempertahankan hujah, maklumlah seorang dari parti pembangkang dan menyokong perhimpunan, seorang lagi dari parti kerajaan, menentang Bersih 2.0 habis-habisan.

Kata yang empunya cerita – dan saya yakin cerita ini benar! – keindahan bulan madu tidak dapat dinikmati malam itu, sebab dua tubuh dari parti yang berbeza sama-sama hangat dan tidak boleh berdekat. Begitulah kesan peristiwa 9 Julai.

Bagi saya sendiri kesannya dirasakan sejak petang Jumaat. Keluar jam 6 petang, terus terperangkap dalam kesesakan di hadapan pejabat di Seksyen 15, Shah Alam. Mulanya tidak diketahui apa punca kesesakan.

Setelah hampir sejam merangkak barulah tiba di Tol Plaza Batu Tiga yang biasanya mengambil masa tidak sampai 10 minit. Baru saya tahu puncanya: khemah polis didirikan betul-betul sebelum tol, menjadikan laluan mengecil.

Selepas tol, pergerakan terhinjut-hinjut, dan saya terpaksa melalui laluan Subang Jaya – Bandar Sunway yang pada hari biasa pun selalu tidak lancar. Sama ada stesen ‘Sinar FM’, ‘Klasik Nasional’ atau ‘Ikim FM’, tidak dapat meredakan keresahan. Kenderaan lebih lambat daripada siput babi.

Paling teruk ialah laluan di hadapan Sunway Pyramid. Sudah kelihatan bumbung kawasan perumahan tempat saya tinggal, tetapi kenderaan – termasuk bas sekolah dan lori tangki – langsung tidak bergerak. Azan maghrib berlalu, diikuti oleh azan isyak, kenderaan masih tersepit.

Akhirnya, jam 9.35 malam baru saya tiba di rumah. Tiga jam setengah dari pejabat ke rumah, jaraknya kira-kira 10 kilometer. Perjalanan 180 kilometer ke kampung saya di Muar pun mengambil masa hanya dua jam!

Ada satu lagi kesan amat peribadi: tidak dapat menikmati nasi kandar Kudu di Jalan Tunku Abdul Rahman, yang menjadi satu kemestian hujung minggu saya sejak bergelar warga KL. Serik?

Categories: