Latest Stories

Dari hadis-hadis yang dikemukakan di atas juga dapat difahami bahawa ketaatan kepada pemerintah meliputi semua perkara kecuali perintah melakukan maksiat kepada Allah Taala. Lnilah sebenarnya pengertian yang dimaksudkan oleh hadis:


"Tiada taat kepada makhluk pada perintah maksiat Al-Khaliq (AIlah).

Sesetengah pihak cuba memesongkan Hadis ini dengan memberi pengertian: Tiada taat kepada makhluk (pemerintah) yang melakukan maksiat. 

Pengertian ini, bukan sahaja tidak benar dari segi susunan bahasanya, ianya satu pengertian yang mustahil, kerana yang maksum (tidak melakukan dosa) hanyalah Nabi sahaja, sedangkan Allah dan Rasulnya memerintahkan kita supaya taat kepada pemerintah Islam selepas Rasul S.A.W. Selain dari itu, pengertian ini bertentangan dengan hadis-hadis lain yang jelas maksudnya seperti hadis tersebut.

"Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu suka dan mereka juga menyukai kamu, mereka mendoakan untukmu dan kamu juga mendoakan untuk mereka; pemimpin-pemimpin kamu yang tidak baik pula ialah mereka yang kamu tidak suka dan mereka juga tidak sukakan kamu; kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditana: bolehkah kami menentang mereka dengan pedang (kekuatan)? Rasulullah menjawab: tidak boleh, selagi mereka menegakkan sembahyang di kalangan kamu. Apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak sukai pada pemerintah kamu, maka hendaklah kamu membenci perbuatannya sahaja, tetapi janganlah kamu menarik balik kesetiaan kamu terhadapnya." (riwayat Muslim, Tabrani dan Baihaqi).

Bertolak dari garis panduan ini, maka sebarang tindakan yang diambil oleh pemerintah dalam mentadbir negara, sama ada dalam membuat peraturan, perlantikan, pemecatan dan sebagainya, adalah wajib dipatuhi.  Malah dalam hal-hal yang berkaitan dengan masalah hukum yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenainya (masalah khilafiah), maka pendapat yang didokong oleh pemerintah hendaklah dipatuhi, seperti dalam menentukan tarikh puasa, hariraya, perlantikan imam, hakim dan sebagainya.  Seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Qarafi: "Seluruh ulama sependapat (ijmak) mengatakan hukum Allah Taala ialah apa yang ditentukan oleh pemerintah dalam perkara-perkara ijtihad; hukum tersebut wajib dipatuhi oleh seluruh umat dan haram ke atas setiap orang mencabarnya." (al-Ahkam)

Categories: