Saya selalu teringat akan pesanan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Katanya, kita mempelajari sejarah, tidak bermakna kita mengkaji kesemua yang berlaku. Kita mengkaji perkara-perkara terpilih.
Demikian jugalah jika kita membicarakan isu semasa. Masalahnya, anak-anak muda kini (tidak semua) kekurangan pengetahuan tentang isu semasa yang terpilih.
Bicara hari ini bermaksud menyebutkan hal kemiskinan maklumat yang dimiliki anak-anak muda itu. Daripada pemerhatian, saya dapati anak-anak muda tidak mempedulikan akhbar yang dilanggan ibu bapa mereka.
Dalam kata yang lebih langsung, anak-anak muda tidak membaca akhbar. Kesukaan berhimpun dengan kawan-kawan untuk berbual-bual kosong menyebabkan mereka tidak tahu tentang hal-hal penting dalam masyarakat, apatah lagi dalam dunia di luar masyarakat mereka sendiri.
Mungkin ada menjawab, kini zaman blog dan laman web. Itu boleh diterima jika anak-anak muda menghadap komputer untuk mendapatkan maklumat, namun ada menghadap untuk maksud-maksud lain. Jika keadaan ini berterusan, mereka akan menjadi orang dewasa yang terpisah daripada pengetahuan am. Mereka mungkin pakar dalam bidang-bidang yang dipilih untuk kehidupan masing-masing, tetapi ‘miskin’ maklumat.
Secara umumnya, baik mereka mengikuti akhbar atau media alternatif, yang utama ialah perlu mengetahui isu semasa. (Bagi Hishamuddin Rasis, blog dan laman web ialah media utama). Tanpa mengetahuinya, mereka ialah manusia yang pasif terhadap pelbagai pandangan yang melibatkan kehidupan mereka sendiri.
Sebagai contoh, ketika makalah ini ditulis, terdapat polemik tentang kepentingan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran di Malaysia. Adakah anak-anak muda sedar dua trend pemikiran ini sedang berlangsung di Malaysia? Pejuang Bahasa Melayu bersungguh-sungguh berhujah mengatakan Bahasa Melayu mesti diletakkan di tempat tertinggi dalam pencarian ilmu. Pihak yang satu lagi tidak mempercayai anak-anak mereka akan betul-betul mahir jika bahasa Inggeris tidak dimajukan secara intensif.
Jika anak-anak muda tahu pandangan yang berlawanan itu sedang terjadi, apakah pandangan anak-anak muda sendiri? Orang-orang dewasa bertentangan pendapat, dan pendapat itu bukanlah untuk mereka, kerana mereka sudah berada di tahap tertentu. Yang penting ialah anak-anak muda sendiri. Adakah anak-anak muda percaya Bahasa Melayu akan menjadi kuat seperti Bahasa Inggeris jika rakyat Malaysia meletakkannya di tempat tertinggi? Atau anak-anak muda memilih bahasa Inggeris? Minggu ini, saya mengetahui ada anak muda meminta wang daripada bapanya sebanyak RM2,000 untuk bayar yuran kursus intensif bahasa Inggeris. Kursus itu akan berlangsung sebulan saja.
Dalam menghadapi polemik, anak-anak muda tidak perlu mengambil sikap menyebelah secara membuta tuli. Salah seorang daripada pejuang Bahasa Melayu telah menulis dalam akhbar Inggeris - menyatakan, Bahasa Melayu amat penting. Tulisan Prof Norhashimah Jalaluddin dalam New Straits Times, 19 April 2011 itu terlihat sebagai satu ironi, tetapi itulah yang baiknya. Norhashimah membuktikan bahawa dirinya sendiri bagus dalam Bahasa Inggeris.
Dalam bidang kesusasteraan, baru-baru ini orang bising kerana kandungan novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain tidak disenangi satu pihak. Adakah anak-anak muda menyedari dan mengikuti polemik tersebut?
Kekayaan pengetahuan dan maklumat kita tentang sesuatu yang berlaku di sekitar kita adalah penting. Bahkan, anak-anak muda juga perlu tahu peristiwa dunia. Dalam bidang politik, kita tahu negara-negara di dunia Arab jatuh kerana penentangan rakyat. Tanpa pembacaan, anak-anak muda mungkin sudah mendengar nama-nama pemimpin negara yang ditentang rakyatnya, tetapi jika masa diambil untuk mendapatkan analisis alangkah baiknya. Selain itu, anak-anak muda mungkin mendengar berita Osama ben Ladin mati ditembak. Adakah anak-anak muda sekalian tahu apakah corak perjuangan Osama ben Laden yang menyebabkan Amerika memburunya?
Bagaimanapun bahan-bahan bacaan adalah pelbagai. Tidak semua jenis maklumat disukai anak-anak muda. Namun, jika kesemua jenis maklumat tidak digemari oleh anak-anak muda, maka itu adalah sesuatu yang malang. Bacalah akhbar, atau sumber lain, untuk anak-anak muda memperoleh maklumat isu semasa. Seperti disebutkan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tidak kesemua peristiwa dan perkara perlu diketahui, tetapi janganlah pula apa-apa pun tidak diketahui.
Categories: