Pengakuan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad bahawa parti itu “tidak mungkin menubuhkan negara Islam” adalah sebuah kejujuran yang menuntut ramai rakyat berfikir bahawa selama ini perjuangan adalah sia-sia. PAS yang menggunakan platform tersebut bagi meraih sokongan dan membuktikan kerelevanan perjuangannya sejak terpengaruh dengan Ikhwanul Muslimin dan revolusi Islam Iran sudah gagal. (rujuk Utusan Malaysia, 1 Februari 2011).
Pengajaran yang rakyat Malaysia boleh ambil ialah kesungguhan pemimpin PAS dalam perjuangannya, akhir memberikan nada kekecewaan yang besar. Teka-teki selama ini bahawa parti itu terus ingin membentuk sebuah negara Islam berhadapan dengan sengketa dan permusuhan apabila Karpal Singh sudah beberapa kali mencabar “agar langkah mayatnya terlebih dahulu.”
Dari satu aspek, pengakuan jujur itu membawa kepada tafsiran sebenar PAS yang takutkan ugutan Karpal Singh dan suku sakatnya dalam DAP yang tidak mahukan Malaysia menjadi sebuah negara Islam. DAP terus mengidamkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara sekular walaupun Tun Dr Mahathir telah membuat keputusan Malaysia adalah sebuah negara Islam beberapa tahun sebelum melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Idealisme PAS menjadi semakin kerdil apabila tidak lagi memperjuangkan pembentukan negara Islam kerana itulah wibawa parti itu terus dinilai paling banyak menggadaikan agama demi kepentingan politik, mencari laba dalam tempoh yang pendek tetapi kecundang secara total dalam jangka masa panjang.
Perubahan asas perjuangan itu menyebabkan PAS bukan sahaja dipandang tidak relevan tetapi semakin terdesak dan saling bercanggah antara puak-puak yang meneruskan misi Islam. Puak yang belatarbelakangkan professional menjadi semakin berpengaruh walaupun Mursyidul Am PAS terus membuat kecaman bahawa parti itu akan terus mengekalkan kepimpinan puak ulamak.
Senario politik PAS yang dipusakai oleh Mursyidul Am PAS telah banyak membuat pusingan u sehingga menyebabkan para penyokong dan pendokong pening memikirkan masa depan parti itu apabila dilanda masalah. Hal ini dapar dilihat berdasarkan riak-riak yang keluar dari sudur pemikiran generasi baru dalam PAS sehingga menyebabkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar pemimpin PAS mencari kaedah untuk menutup “mulut Nik Aziz.”
Hujah Menteri Pertahanan itu jelas bahawa semakin lama Nik Aziz diberikan peluang bercakap dan memimpin parti itu, semakin banyak kekeliruan yang timbul atas fatwa-fatwanya yang hanya bersandarkan keinginan politiknya. Sejarah tidak akan melupakan bagaimana Nik Aziz pernah menjelaskan bahawa “Tuhan juga mencarut” apabila reaksi masyarakat begitu hebat memperkatakan mengenai buku Shit pada akhir tahun 1990-an.
Nik Aziz juga pernah mengeluarkan kata-kata bahawa “boleh berkawan dengan syaitan” asalkan “syaitan itu comel dan kaya.” Kata-kata itu sebenarnya merujuk kepada pelabelan yang pernah diberikan ke atas pemimpin UMNO kerana dalam satu pertemuan dengan Tun Dr Mahathir, Nik Aziz memperoleh apa yang dihajatnya, iaitu peruntukan tambahan bagi membiayai hutang dan perbelanjaan negeri.
Proses mengidealismakan pendirian sebuah negara Islam menjadi lebih lantang pada awal tahun 1980-an apabila Haji Hadi Awang mula memasuki kelompok pemimpin muda PAS. Ketika itu, Haji Hadi mempamerkan kelantangan cakapnya dengan istilah “taghut” dan “fatwa jihad” kerana darah orang UMNO adalah “halal dibunuh” setelah parti yang bersemangat Melayu bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu.
Semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, Haji Hadi membuat pendedahan saat memasuki Wisma Darul Iman telah menemui banyak duit yang cuba disembunyikan oleh kerajaan terdahulu. Pembohongan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan apabila tidak menemui di mana wang tersebut disimpan, sebaliknya beliau mengambil peluang menyaman kerajaan Persekutuan kerana menghentikan pemberian wang royalty minyak. Ia digantikan dengan wang ehsan dan tidak diurustadbirkan oleh kerajaan PAS.
Haji Hadi tidak suntuk akal. Haji Hadi menggunakan kaedah lain bagaimana mendapatkan wang yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensi yang dikawal oleh kerajaan negeri. Oleh kerana terdesak, Haji Hadi membuat arahan agar agensi-agensi yang menerima peruntukan terus dari kerajaan persekutuan agar memindahkan wang tersebut ke akaun kerajaan negeri. Agensi berkenaan kemudiannya akan diberikan wang pengurusan manakala sebahagiannya disimpan dalam tabung bendahari negeri misalnya berlaku kepada Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATI).
Semalam Dr. Dzulkefly Ahmad memberikan alasan kenapa parti itu gagal melaksanakan hasrat menubuhkan sebuah negara Islam berlandastkan faktor dan reality masyarakat. Itulah pengakuan jujur yang boleh kita jadikan ukuran, bahawa struktur masyarakat adalah penting. Pemimpin PAS itu berpijak pada reality apabila menjelaskan “”Terdapat 60 peratus orang Islam dan 40 peratus bukan Islam. Malah, kita sendiri tidak memiliki 60 peratus sokongan daripada masyarakat Islam.”
Dalam hal ini ramai rakyat menyuarakan kebimbangan mengenai pemimpin tertinggi PAS yang tidak jujur dalam fatwanya sendiri walaupun dilabelkan sebagai ulamak. Terbaru ialah apabila Nik Aziz menyifatkan pengundi yang tidak mengundi parti itu dalam pilihan raya kecil Tenang sebagai “jahil.” Nampaknya, pengertian dan maksud jahil telah dibungkus dengan kehendak politik sempit sedangkan makna sebenarnya adalah lebih luas.
Nik Aziz sudah menampakkan riak dan cuba menutup kejumudan pemikirannya walaupun mempunyai pengetahuan agama yang luas. Dengan memberikan label sedemikian, Nik Aziz amat mengharapkan sokongan besar sehingga boleh menjulangkan kemenangan calonnya dalam perebutan status wakil rakyat. Hal yang sama telah lama dipraktikkan oleh Nik Aziz misalnya dalam kempen di Manek Urai beliau memberikan kata-kata bahawa “menyokong UMNO membawa ke neraka” kerana “UMNO tidak memperjuangakan Islam.” Kini, apakah yang akan dilabelkan oleh Nik Aziz apabila salah seorang pemimpinnya membuat pengakuan “PAS tidak mungkin membentuk sebuah negara Islam.”
Sebenarnya daria aspek pengurusan dan sejarah negara, pemimpin-pemimpin UMNO telah lama mempraktikkan sifat kesederhanaan dalam meletakkan Islam sebagai yang terbaik. Ramai rakyat yang berfikiran rasional mampu memikirkan dengan pengurusan kutipan zakat yang teratur, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah berjaya menguruskan ekonomi termasuk mempunyai Hospital Pusrawi dan memiliki Hotel Putra. Hospital Pusrawi telah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan malah jumlah kutipan zakat oleh MAIWP telah mula melepasi sasaran RM 1 bilion pada tahun 2009.
Bagi keperluan pendidikan, MAIWP bukan sahaja membangunkan sekolah-sekolah agama malah turut membiayai para pelajar miskin melalui penubuhan tabung pendidikan dan Institut Profesional Baitulmal. Setakat ini rakyat umum masih belum mendapat gambaran bagaimana kutipan zakat di negeri-negeri yang ditadbirkan oleh PAS telah berjaya memenuhi keperluan masyarakat Islam, bagaimana zakat telah membantu aktiviti muamalat. Apa yang dipaparkan ialah PAS berusaha membangun bersama Islam, tetapi kadar pengangguran kian membesar manakala gejala sosial semakin meningkat dan ada ketikanya berupaya melintasi negeri-negeri yang tidak ditadbir dan dibangunkan “bersama Islam.”
Di sinilah nampaknya Dr Dzulkefly sudah sedar dan bercakap dalam situasi sebenar. Beliau mula menggunakan realiti sebenar dalam membuat rumusan dan bukannya “menjual burung terbang” sebagaimana dilakukan oleh golongan ulamak dalam PAS. Retorik dan penuh kepalsuan. Satu pengakuan jujur, meskipun pahit sepatutnya diterima oleh PAS sepenuhnya, kerana sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t setiap orang Islam bukan sahaja wajib jujur dengan dirinya, ia turut bertanggungjawab kepada orang yang dipimpin dan Allah s.w.t. Sesungguhnya, setiap anggota tidak lagi akan terkunci apabila tiba masanya diadili ketika di Padang Masyhar nanti. Wallahuaklam.
Categories:
Politik