Latest Stories

Apabila Lee Kuan Yew, menteri kanan dan penasihat  mengeluarkan kenyataan sinis terhadap Islam sebagaimana dilihat sebagai musuh yang perlu bersaing, nampaknya Lee Kuan Yew sekali lagi ingin menimbulkan kekecohan dengan Islam dan pendapatnya kali ini jelas mempunyai hubungan kuat dengan apa yang ditimbulkan oleh islamphobia.
Seharusnya sebagai seorang pemimpin yang sudah berumur dan kesunyian kerana baru sahaja kehilangan isteri, Lee Kuan Yew lebih sedar bahawa dengan mengeluarkan kata-kata sinis akan menyebabkan hormat seseorang akan hilang meskipun beliau pernah mempunyai reputasi baik membangunkan Singapura dari sebuah negara tidak bermaya kepada sebuah negara pulau yang termoden, termaju dan terkuat dalam wilayah Asia.
Lee Kuan Yew sebenarnya adalah seorang strategis dan merupakan seorang pemikir yang sentiasa ingin berada dihadapan. Kerana itulah apa sahaja yang dilakukan oleh negara jirannya, beliau akan memberikan ulasan yang bertentangan, termasuk mengenai kesediaan Malaysia membangunkan pelabuhan yang mampu menarik minat ramai saudagar perkapalan dunia. Singapura yang bergantung harap dengan perniagaan entreport kurang sedar bahawa kemakmuran yang dimilikinya adalah sumbangan negara-negara jiran yang seringkali diperli dan diberikan ulasan negatif.
Rasa sedar dan semangat setiakawan Lee Kuan Yew memang tipis. Kedudukan Malaysia yang strategic terus menjadi ancaman besar buatnya sehingga mengarahkan anggota perisikan melaksanakan banyak kerja penyusupan hingga maklumat tersebut tersimpan dengan baik. Atas sikap bongkaknya juga Lee Kuan Yew sebenarnya mengajar rakyatnya supaya jangan mudah mengalah, kerana sebagai sebuah negara kecil dan terpaksa berhadapan dengan jiran yang lebih besar, kita mesti meggambarkan jiwa pemberani.
Atas jiwa yang berani itulah Lee Kuan Yew selalu membuat kejutan tanpa menghiraukan emosi dan perasaan pemimpin-pemimpin lain, termasuk mengetatkan kawalan terhadap kebebasan media, kuasa pembangkang dan mengongkong pemikiran orang Melayu sehingga orang Melayu Singapura tidak sedar mereka sebenarnya sedang disingkirkan secara halus. Lee Kuan Yew kini sedang berusaha untuk meliberalkan pemikiran masyarakat Islam Singapura, kerana beliau sedar dengan cara itulah maka orang Melayu dan Islam Singapura akan tercabut dari akar tradisinya.
Berdasarkan prinsip bahawa Islam yang bersosial tidak menjadi masalah berbanding mereka yang taat beragama, Lee Kuan Yew seolah-oleh ingin melihat akan berlakunya satu perubahan besar dalam kehidupan muslim di Singapura atau rantau Asia Tenggara. Lee Kuan Yew meminta agar orang Islam “jangan ketat” mengamalkan ajaran Islam bererti cuba memisahkan persoalan akidah umat Islam. Umat Islam boleh mengamalkan Islam , tetapi Islam itu mestilah selaras dengan dasar kerajaan yang sedang memperkuatkan penyatuan masyarakat berdasarkan pola pemikiran politik China.
Lee Kuan Yew sebenarnya sedang memaksa secara halus pemikiran orang Islam agar lebih memahami hasrat negara untuk terus memancarkan kegemilangan dalam masa yang lebih panjang. Ini kerana Lee Kuan Yew sudah melihat ada petunjuk bahawa pemuda Islam di negara tersebut sedang mencari jalan untuk membersihkan diri daripada kekalutan yang timbul akibat dasarnya yang dikatakan demokratik, tetapi lebih berat kepada autokratik.
Sindiran bahawa “amalan Islam yang ketat” akan mengganggu proses pembinaan negara bangsa Singapura nampaknya sebuah sindiran politik yang tajam. Tentunya buku beliau kali ini, boleh mengundang banyak reaksi balas yang akan dilontarkan oleh banyak pihak setelah biografinya terdahulu kurang mendapat sambutan masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia kurang berminat untuk membaca fikiran Lee Kuan Yew kerana stereotaip pemikirannya hampir menyamai apa yang dilakukan oleh Israel, walaupun secara perundangan antarabangsa adalah salah. Tanpa mempedulikan orang lain, Israel terus mengeluarkan laporan menjelaskan bahawa serangan ke atas sukarelawan Mari Marmara pada 31 Mei 2010 adalah langkah “mempertahankan diri dari serangan.”
Kutukan masyarakat antarabangsa tidak dipedulikan malah Benjamin Neetanyahu dalam tempoh yang hampir sama dengan kata-kata sinis Lee Kuan Yew menjelaskan bahawa laporan tersebut jelas membuktikan bahawa askar Israel tidak bersalah. Lee Kuan Yew pula memalu gendang bahawa “Islam yang ketat” menyebabkan Singapura akan berhadapan dengan masalah dan “terpaksa bermusuh”. Aliran pemikiran yang hampir sama ini sebenarnya bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi ia merupakan hakikat dari sebuah perhubungan yang lama terjalin antara Singapura dan Israel.
Seorang penulis Indonesia menamakan Singapura sebagai “pangkalan Isreal di Asia Tenggara” memandangkan negara tersebut memberikan banyak kemudahan perniagaan, membawa masuk barangan dari Israel dan menggunakan model ketenteraan Israel dengan mengambil Chaim Herzog sebagai penasihat ketenteraan pada tahun 1965, setelah terpaksa berpisah dari Malaysia. Walaupun beliau mempertahankan idea penubuhan Malaysia, sebenarnya itu merupakan strategi yang sengaja dijadikan umpan untuk menguasai wilayah yang lebih luas. Mujurlah ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra sedar mengenai gelagat politik Lee Kuan Yew, walaupun beliau mengkritiknya dengan pedas dalam biografinya terdahulu.
Kali ini, Lee Kuan Yew cuba berlagak sebagai seorang philanthropist apabila memberikan amanah kepada pihak berkuasa untuk merobohkan rumah yang didiaminya dan dibangunkan dengan bangunan komersial. Beliau turut menjelaskan seluruh elaunnya sejak meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura pada tahun 1990 tidak diambilnya. Beliau boleh berkata demikian kerana kehidupannya sudah mewah, kaum keluarganya menguasai sektor ekonomi di Singapura termasuk dalam syarikat pelaburan kerajaan, Temasik Holdings.
Sebagai orang tua, beliau sebenarnya tidak memerlukan banyak perbelanjaan kerana untuk melakukan perjalanan ke luar negara boleh menggunakan kemudahan kerajaan, kerana bekas pemimpin negara. Taraf diplomatik masih dinikmatinya, walaupun tidak sepenuhnya. Tetapi atas jawatan menteri kanan beliau boleh mendapatkan sepenuhnya. Sebagai bapa kepada Perdana Menteri yang berkuasa, tentunya Lee Hsein Loong mampu melakukannya, termasuk menantunya dalam Temasik Holdings. Jadi, tidaklah hairan Lee Kuan Yew semakin bongkak malah ingin memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang jujur dan dermawan. Hatinya masih kering dan penuh dendam kesumat. Beliau tidak boleh menerima hakikat bahawa negara-negara yang berjiran dengannya semakin bingkas membangunkan ekonomi, dan boleh dilakukan dalam acuan sendiri.
Lee Kuan Yew mungkin menjadi gentar apabila Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk lebih 240 juta orang sedang mencari kekuatan untuk muncul sebagai kuasa ekonomi baru bagi mengambilalih Singapura dalam tempoh dua puluh tahun lalu. Hal ini agaknya menjadi sikap cemburu Lee Kuan Yew sedangkan negara tersebut mempunyai masalah untuk mengimbangi penduduknya. Jumlah penduduk muda semakin mengecil manakala penduduk tua semakin membesar. Inilah yang mula ditakuti oleh Lee Kuan Yew setelah dasarnya menghadkan bilangan anak dalam sesebuah keluarga mula menunjukkan kesan negatif. Kini, Singapura sedang mencari tenaga muda professional untuk diberikan taraf kerakyatan bagi terus membangunkan negara itu.
Lee Kuan Yew mungkin sedar langkahnya terdahulu adalah satu kesilapan. Kelebihan India dan China yang mempunyai jumlah penduduk yang besar telah menyebabkan ekonomi domestiknya amat kuat, malah penghasilan produknya semakin meningkat sedangkan kos pengeluaran dapat dikurangkan. Untuk mencapai tahap tersebut, Singapura nampaknya akan terus tenggelam dalam persaingan. Singapura tidak mempunyai cara lain untuk memulihkan kedudukannya, pilihan yang ada ialah memperluaskan kebencian masyarakat barat terhadap Islam dengan cara Singapura. Caranya ialah mendesak agar orang Islam tidak ketat dalam amalannya, seolah-olah memikirkan bahawa Islam tidak mengamalkan toleransi. Itulah yang sengaja dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Sepatutnya beliau memahami Islam kerana berjiran dengan negara majoriti Islam. Tetapi beliau sebenarnya berupaya menggunakan kelemahan umat Islam untuk dimanipulasikan dalam strategi politiknya, dan kerana itulah beliau boleh kekal menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 31 tahun lamanya. Beliau sebenarnya telah melaksanakan propaganda halus untuk mengikat pemikiran masyarakat Islam di Singapura agar lebih berinteraksi dan mengorientasikan pemikiran ke arah Islam liberal. Liciknya pemikiran Lee Kuan Yew dalam umurnya 91 tahun masih mampu melemparkan pandangan bernas menurut kepentingannya, kerana Lee Kuan Yew memang seorang strategis yang handal di rantau Asia Tenggara.

Categories: