PENGENALAN
Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, undang-undang Islam telah pun diterima dalam istiadat atau adat masyarakat tempatan. Kedua-dua bentuk adat yang utama ialah Adat Temunggung dan Adat Perpatih. Oleh kerana itu, boleh disimpulkan bahawa undang-undang yang dilaksanakan ketika itu ialah undang-undang Islam yang telah diubahsuai oleh adat Melayu. Walaubagaimanapun, pentafsiran tersebut mungkin boleh dipertikaikan kerana pentafsiran tersebut merupakan daripada pemikiran para sarjana Barat seperti Hooker dan lain-lain. Persoalannya kini, adakah undang-undang ketika itu merupakan hasil undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat Melayu atau ianya merupakan undang-undang yang dipengaruhi oleh adat Melayu tetapi telah diubahsuai dan dipengaruhi oleh undang-undang Islam? Perlu diingat bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang yang khusus dicipta Allah tanpa boleh dipengaruhi oleh mana-mana unsur yang bertentangan dengannya samaada daripada adat Melayu dan sebagainya.
Penulisan ini akan meninjau dengan lebih khusus tentang pemakaian undang-undang Islam sebelum penjajahan dan perubahan yang berlaku selepas era kemerdekaan. Tidak dapat dinafikan bahawa telah wujud pemakaian undang-undang Islam dalam Undang-undang Melaka, Terengganu, Johor dan Perak sebelum penjajahan British yang membuktikan cara hidup Islam telahpun diamalkan oleh masyarakat ketika itu.





























